FOTO: Ehsan pembaca.

 

KUALA LUMPUR — Walaupun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ yang dijadualkan hari ini, namun Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof tetap turun meninjau Super Drone atau “manned aerial vehicle” di Subang hari ini.

Menteri itu menerima jemputan daripada usahawan tempatan, Eastcap Berhad yang bekerjasama dengan syarikat luar negara yang membawa dron itu.

Pejabat Setiausaha Akhbar kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, lawatan tertutup (private viewing) ke atas usahawan seperti itu adalah amalan biasa dijalankan oleh kementerian dan agensi bagi melihat dengan lebih dekat kemampuan usahawan.

“Sebagaimana yang banyak dilaporkan oleh media sebelum ini, Kementerian juga memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron dan air mobility yang dijalankan oleh syarikat tempatan dan luar negara.

“Projek seperti ini dapat menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri aeroangkasa dan air mobility menerusi usahasama antara syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa dalam bidang pemasangan dan pembuatan bahagian dan komponen serta menggunakan teknologi terkini merangkumi ‘big data’, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT),” katanya.

KERETA terbang: Super Drone yang boleh membawa dua orang penumpang. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Katanya, ia adalah inisiatif swasta (private driven initiative) yang tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

Redzuan berkata, sebagai kementerian yang menerajui pembangunan keusahawanan, MED akan terus menyokong dan memudahcara pembangunan usahawan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.

“MED akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030.

“Usahawan yang ingin menceburi industri itu haruslah akur dan memahami peraturan dan undang-undang sedia ada dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di negara ini terhadap proses penguatkuasaan dan pemantauan sebarang aktiviti berkaitan,” katanya.

Menurutnya, Menteri juga menerima penerangan mengenai perancangan syarikat itu untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan fasiliti pemasangan “manned aerial vehicle” sebanyak 10,000 unit setahun dengan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan untuk pasaran eksport.

“MED juga menggalakkan lebih banyak syarikat inovasi tempatan untuk memilih Cyberjaya sebagai platform ‘test-bed’ untuk menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, dron dan air mobility.

“Kementerian juga sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai keperluan mewujudkan kerangka perundangan kondusif dan holistik bagi menyokong

perkembangan industri ini di samping memperkasakan ekosistem sedia ada,” katanya.

Sebelum ini CAAM dalam kenyataan menegaskan pihaknya tidak meluluskan ujian penerbangan hari ini berikutan lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here