Anak Amerika terlepas ‘belang’ Harimau, salah siapa atau disengajakan?

0
772
LUQMAN Hakim Shamsudin, permata baharu negara yang ditagih menyinar pada Sukan SEA.

Oleh KAKI BANGKU

SIAPA perlu dipersalahkan? Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Kementerian Dalam Negeri? Jabatan Imigresen Malaysia atau Wan Kuzain Wan Kamal sendiri?

Gara-gara kelengahan dan kegagalan pengeluaran pasport Malaysia, perantara kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat kempunan ke Sukan SEA Filipina yang bermula Isnin ini.

Siaran media laman sesawang FAM menyebut, “Wan Kuzain Wan Kamal dari kelab Kelab MLS Amerika Syarikat, Sporting Kansas City tidak tersenarai kerana masalah dokumentasi tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain (hari ini 22 November 2019).”

Semangat dan harapannya yang berkobar-kobar untuk menyarung jersi Malaysia dengan terbang sejauh 14,950 kilometer dari tempat asalnya, Illinois, Amerika Syarikat, sia-sia sahaja!

Atau adakah prestasi Wan Kuzain yang hanya tiba Isnin lalu sedangkan kem latihan pusat dibuka 4 November lalu, mempengaruhi pemilihan skuad 20 pemain skuad B Bawah 22 Tahun negara yang diputuskan Datuk Ong Kim Swee.

Pengalamannya mewakili kelab MLS, Sporting Kansas City tampak seperti kurang meyakinkan ketua jurulatih itu yang mungkin lebih mengutamakan keserasian gandingan dan kemampuan bermain lebih daripada satu dua posisi.

Peliknya pada 7 Mei lalu, delegasi FAM pimpinan Presidennya, Datuk Hamidin Amin yang melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut membentangkan kertas kerja projek naturalisasi pemain bola sepak daripada kalangan warganegara asing.

Ketika itu selain sayap kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang mewakili Harimau Malaya mulai 12 Oktober 2018, terdapat nama-nama pemain import Liga Malaysia seperti Liridon Krasniqi, Lee Tuck dan Guilherme de Paula meniti bibir para pegawai kanan FAM.

PEMAIN berdarah kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng yang menambat hati Ong Kim Swee.

Sepatutnya proses bagi dokumen perjalanan Wan Kuzain lebih mudah walaupun dia masih memegang pasport Amerika Syarikat selain pernah dipanggil menjalani latihan dengan skuad Bawah 17 Tahun negara yang bendera ‘Old Glorynya’ mirip Jalur Gemilang.

Pemuda berusia 21 tahun ini merupakan anak Profesor Wan Kamal Napi kelahiran Kelantan yang menetap di Carbondale, Illinois, masih layak menyarung skuad B22 Malaysia selagi tidak pernah mewakili skuad senior negara lain.

Apakah kenyataan bapanya itu dalam akaun laman Facebooknya, September lalu, bahawa hala tuju Wan Kuzain ialah mewakili skuad Stars & Stripes yang pernah ke Piala Dunia sedangkan Sukan SEA ini cuma persinggahan kerana musim MLS berehat, turut mempengaruhi penggugurannya?

Sementara itu, senarai 20 pemain skuad Sukan SEA negara yang bakal berentap dalam Kumpulan A seperti diduga menyaksikan penampilan tujuh pemain Harimau Malaya iaitu Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Dominic Tan Jun Jin, Danial Amier Norhisham dan Syahmi Safari.

Turut tersenarai pada usia semuda 17 tahun ialah penyerang yang bakal menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk – Luqman Hakim Shamsudin dan rakan sepasukan, Harith Haiqal Adam Afkar dan Umar Hakeem Suhar Rezwan yang membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 19 Asia, baru-baru ini.

Skuad Sukan SEA kali ini juga diperkuatkan tiga pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Dominic (Police Tero FC, Thailand), Hadi Fayyadh Razak (Fagiano Okayama, Jepun) dan Quentin Cheng, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia di kelab bawah 21 Central Coast Mariners.

Malaysia akan berentap di Stadium Peringatan Rizal, Manila dengan menentang Myanmar (Isnin ini), tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).

Sepanjang khidmat Kim Swee dengan skuad Sukan SEA, Malaysia mempertahankan pingat emas di Jakarta pada 2011 dan meraih perak di Kuala Lumpur 2017 manakala selebihnya pulang dengan tangan kosong dari Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here