Kumpulan penunggang motosikal serbu hospital ambil mayat bayi

0
793
KUMPULAN penunggang motosikal tiba di hospital.

Oleh FETTY RARA
SEORANG penunggang motosikal menyifatkan sebagai misi kemanusiaan satu tindakan serbuan rumah mayat sebuah hospital di Indonesia untuk menuntut mayat bayi yang ditahan berikutan kegagalan membayar bil rawatan.

Wardiansyah adalah di antara berpuluh penunggang teksi motosikal yang mengambil tindakan sedemikian di bandar raya Padang.

Klip video rakaman menunjukkan konvoi penunggang motosikal meninggalkan hospital bersama mayat Alif Putr dikendong oleh seorang daripada mereka untuk dikebumikan secepat mungkin atas tuntutan Islam.

IBU bayi begitu hiba mengenang nasib mereka.

Bagaimana pun, keluarga bayi tersebut diberitahu oleh pihak Hospital M Djamil bahawa mereka tidak boleh mengambil mayat bayi berusia enam bulan itu untuk dikebumikan sehingga semua bil dijelaskan.

Setelah menerima kata putus itu kumpulan penunggang teksi motosikal bersolidariti mengambil tindakan kerana ayah bayi berkenaan adalah rakan sekerja mereka.

BBC Indonesia memetik penjelasan Wardiansyah bahawa tindakan itu diambil setelah dimaklumkan bahawa pihak keluarga tidak dapat menuntut mayat Alif kerana gagal membayar 25 juta rupiah.

Pengawal keselamatan hospital pada mulanya cuba menghalang kumpulan penunggang motosikal itu tapi memandangkan begitu ramai mereka pun berundur.

Video kejadian tersebut menjadi tular di Indonesia dan mencetuskan persoalan tentang layanan ke atas ibu bapa yang tidak mampu membayar bil hospital.

Sebelum ini pernah dilaporkan beberapa insiden yang sama di mana pihak hospital dan klinik menahan bayi baharu lahir sebagai tebusan sehingga bil dijelaskan.

Di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo, satu program penjagaan kesihatan menyeluruh telah diumumkan di Indonesia, tetapi ia digugat masalah dana dan kegagalan keluarga miskin mendaftar.

Menurut ibu bayi tersebut mereka sedang dalam proses mendaftar untuk program berkenaan apabila anak mereka jatuh sakit.

Alif dihantar ke hospital untuk pembedahan tetapi meninggal dunia pada pagi Selasa.

-BebasNews

 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here