Oleh NAFSIAH JANI

LAGU sama tapi cara nyanyian saja yang berbeza. Itulah kelainan yang ingin ditampilkan kumpulan Hijjaz apabila  menyanyikan semula lagu nasyid popular kisah perjuangan seorang wanita hebat, Sumayyah 2019 yang diberi nafas baru gandingan Hijjaz bersama Tomok.

Sebelum ini, Hijjaz juga pernah menampilkan penyanyi Jeff A To Z bergandingan menyanyikan lagu nasyid  Lafaz Salam yang disuntik beberapa elemen muzik hingga menjadi pop nasyid berirama rap.

Selain Isman dan Munif, Hijjaz yang aktif dalam perjuangan nasyid sejak 1997 turut dianggotai Mohd Faizal Osman (Faizal)  dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim (Ariffin).

Bercakap mengenai gabungan Tomok dalam lagu Sumayyah Munif berkata,”Bila pihak Felinna Body Mist berminat menaja klip video Sumayyah 2019 kami terfikir untuk membuat sedikit kelainan dalam lagu ini. Sebelum ini sudah dua kali lagu Sumayyah dibuat  dan ia tetap menampikan kumpulan Hijjaz selaku penyanyi. Kalau kali ketiga tetap kami saja yang menyanyi tak ada jugalah kelainannya.

“Untuk kelainan kami berikan beberapa nama untuk bergandingan dan syukurlah Tomok menepati ciri-ciri yang kami inginkan dan dia bersetuju bergandingan dengan kami.

“Bayangkan sejak 2002 lagu Sumayyah menjadi siulan peminat namun kami tidak pernah mempunyai klip video berbanding lagu-lagu Hijjaz yang lain.’’

Pencarian Sisfel Mencari Sumayyah anjuran Felinna Body Mist ini telah berlangsung sejak Julai lalu dengan telah mendapat lebih 300 penyertaan. Setelah melalui beberapa saringan daripada 15 peserta di peringkat akhir hanya 5 orang yang dipilih dan akhirnya juara menjadi milik Adila Saffia.

Klip video ini bakal menjalani penggambaran pertengahan Disember ini dengan kos keseluruhan projek klip video dan promosi yang menelan belanja sebanyak RM200,000.

Munif menambah,”Lagu Sumayyah ini lagu lama dan kalau kami silap pilih suara sudah pasti peminat akan sedar mengenai kejanggalan paduan suara tersebut. Bila Tomok bergandingan barulah ada impak pada lagu Sumayyah 2019 ini. Lagu ini nadanya tinggi dan keserasian antara kami dengan penyanyi lain perlu ada dan sememangnya suara Tomok senada dengan kami.

“Walaupun lagu ini pendek namun kami mintak arranger kami, Firdaus Mahmud lebihkan bahagian untuk Tomok menyanyi. Dari situ nanti barulah nampak kelainan lagu ini berbanding versi Sumayyah terdahulu.”

Sementara itu, Tomok melahirkan rasa gembiranya kerana kolaborasi dia bersama Hijjaz untuk menyanyikan lagu Sumayyah.

“Saya memang minat kumpulan legenda Hijjaz dan lagu Sumayyah juga merupakan lagu nasyid yang saya minat. Tak sangka akhirnya saya berpeluang berduet bersama mereka. Bila saya ditawarkan saya tak fikir panjang dan terus menerima tawaran mereka.”

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here