Larangan akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan

Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan.

0
202

KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan produk makanan yang membuat akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan sama ada di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan.

Sehubungan itu, satu operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan telah dijalankan serentak di seluruh negara selama dua hari pada bulan Oktober 2019 melibatkan 576 orang pegawai penguatkuasa.

Hasil Operasi Khas yang dijalankan, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita.

Sementara itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya.

Di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualti Makanan akan sentiasa menjalankan pemantauan seumpama ini di seluruh negara bagi memastikan kepatuhan terhadap pelabelan dan iklan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here