ILLUSTRATION: Medium

 

Oleh AMREE AHMAD

MUJUR dua isu panas ini muncul serentak selepas habis Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang bergaya dengan majoriti besar.

Bayangkan jika terbongkar sebelum hari pengundian pada 16 November lalu, ada kemungkinan Pakatan Harapan (PH) kalah jauh lebih teruk kerana dua isu sensitif ini bukanlah perkara remeh.

Namun, itulah naratif politik tanah air sama ada kebetulan atau memang dirancang lebih dahulu, isu abu Chin Peng balik ke Malaysia dan Jalur Gemilang bintang berbucu lima ketika ini tular.

Anehnya, dua berita itu sebenarnya telah berlaku lebih awal lagi tetapi pelik ia cuma jadi kecoh dalam kalangan netizen anti-PH genap 10 hari usai PRK kerusi di hujung benua Asia tersebut.

Padahal jika diteliti semula, abu Chin Peng itu sudah pun tiba secara rahsia di Ipoh, Perak pada 16 September lalu sebelum ditabur di laut dekat Lumut dan kawasan hutan Banjaran Titiwangsa.

Lihat tarikhnya iaitu ketika rakyat Malaysia ceria raikan Hari Malaysia, manakala warga pasukan keselamatan pula sibuk sambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-86 juga di Lumut.

Apakah kebetulan pemilihan tarikh ‘kepulangan’ mendiang Ching Peng dan lokasi taburan abu itu sengaja dibuat sedemikian sebagai tanda simbolik bentuk penghinaan tersirat kepada ATM?

Begitu juga kes bendera Malaysia yang bintangnya berbucu lima, bukan kali pertama berlaku kerana ia sudah muncul juga di tempat sama di Stadium MABA dari 21 hingga 27 Oktober lalu.

Lebih aib, Kejohanan Jemputan Antarabangsa Malaysia MABA itu disaksikan pelawat seluruh dunia berbanding acara Piala Lum Mun Chak yang tular pula yang sekadar bertaraf kebangsaan.

Alasan konon ralat itu dibuat kontraktor juga pelik kerana sepatutnya mereka tahu bentuk Jalur Gemilang dek mudah dirujuk melalui sumber Internet dan Malaysia telah merdeka 62 tahun.

Bagaimanapun, ramai pengguna media sosial ‘perasan’ kenapa kerajaan PH agak senyap dalam dua isu kontroversi ini seolah-olah bimbang ulas atau takut rakyat akan bangkit jadi lebih marah.

Di manakah suara Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kerana isu Chin Peng dan bendera silap juga berkait rapat kedaulatan negara?

Apakah mereka kebetulan masing-masingnya Presiden PPBM dan PAN, bimbang ia boleh cetus kemarahan sekutu kuat DAP dan bakal hancurkan PH yang pada ketika ini teruk dikritik rakyat?

Mungkin andaian ini agak keterlaluan tetapi sikap diam diri PH terhadap isu sebegini sebenarnya bakal beri gambaran negatif apatah lagi ‘guris’ pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan.

Masyarakat sebenarnya semakin bijak boleh buat perbandingan antara ketegasan BN dalam isu ‘panas’ ini dan kelemahan PH lebih berdolak dalik enggan dengar rintihan suara rakyat marhaen.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here