Oleh ZIHAN ZARI /Foto: Andrew Lim

KETIKA kita leka dibuai mimpi, ada antara kita siang dan malam menggadaikan nyawa mempertahankan dan menjaga kedaulatan negara dari sebarang ancaman, baik dalam keadaan perang, darurat mahupun aman.

Jasa pengorbanan mereka perlu diingati sentiasa, khidmat bakti mereka membolehkan kita hidup aman damai dan makmur.

Baru-baru ini, bebasnews menjejaki anggota tentera wira tak didendangkan iaitu Mejar (B) Lim Thian Peng melalui cucunya Andrew Lim.

Poskad yang dikirimkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman kepada Lim, pada tahun 1965, menjadi kenangan yang cukup berharga.

Menurut Andrew Lim , datuknya dilahirkan pada 1925, berasal dari Jeram, Selangor, mula berkhidmat sebagai ‘Home Guard’ yang ditubuhkan di bawah Rancangan Briggs untuk menyekat pengaruh komunis semasa darurat.

Kemudian beliau diserap ke dalam ‘Territorial Army’ oleh pemerintah British pada masa tersebut. Ditempatkan di bahagian utara Perak (Grik dan Kroh) pada tahun 1950an.

Thian Peng sempat berkhidmat merentasi zaman sebelum dan selepas merdeka, di tanah tercinta Malaya dan kemudiannya Malaysia.

Antara pengalaman menarik adalah ketika beliau bertugas menjaga keselamatan dan mengiringi Tunku Abdul Rahman ketika berlangsungnya Rundingan Baling 1955.

Seterusnya datuk Andrew ditempatkan di Johor dan Melaka sebelum penempatan terakhirnya adalah bertugas dengan Briged Infantri Universiti Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai ROTU/PALAPES.

Kemuncak kerjaya Thian Peng dalam angkatan tentera apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai Mejar sebelum bersara pada awal 1980an. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah dianugerah pingat P.B.M., P.K., dan British Empire Medal.

Beliau sempat merasai Perang Dunia Kedua, disusuli dengan ancaman komunis, dan seterusnya menyaksikan peralihan status negara jajahan menjadi negara merdeka, serta perpisahan Singapura daripada Malaysia.

Thian Peng meninggal dunia pada tahun 2002, namun kerjayanya sebagai tentera pastinya mengumpul pelbagai pengalaman berbeza yang tidak ramai orang akan merasainya, berkhidmat dalam pasukan keselamatan sememangnya suatu yang unik.

Masyarakat perlu sentiasa menghargai jasa-jasa tentera yang mempertahankan negara, ramai yang tidak peka tentang kesusahan yang dihadapi oleh bekas anggota tentera termasuk selepas bersara ketika menyesuaikan dengan dunia yang baharu,” kata Andrew.

POSKAD yang dikirim oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dari London kepada Kapten Lim pada 1965.

Artikel ini bukanlah sekadar mengingati Mejar Lim. Apa yang pasti, beliau hanya salah satu daripada berpuluh-puluh ribu lagi anggotapasukan keselamatan yang masing-masing mempunyai kisah tersendiri.

Pastinya kerjaya sebagai anggota tentera bukan hanya tidur dan makan seperti mana dakwaan sesetengah pihak, khidmat bakti mereka amat penting kepada negara, baik dalam keadaan perang, darurat, mahupun aman.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada askar-askar kita, dahulu dan kini,” ujar Andrew lagi.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

2 COMMENTS

  1. Satu tulisan sorotan yang amat baik.

    Satu penghargaan harus diangkat kepada Perajurit ini daripada membawa balik abu mayat kepada pengkhianat negara!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here