Hasrat Kak Chik yang tak kesampaian…

0
816
GAMBAR ini adalah pagi raya terakhir Allahyarham A. Rahman Hassan bersama Fadilah Mansor dan anak-anak beliau. Aliyah Farhani, suami, Mohamad Daniel, cucu, Mateen Yusuf dan anak bungsunya, Faesal Aswad.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

BENARLAH kata orang bercerai mati itu pedihnya amat terasa berbanding bercerai hidup. Dan begitulah yang dilalui oleh dramatis yang tidak asing lagi, Datin Fadilah Mansor setelah suaminya, Datuk A.Rahman Hassan meninggal dunia pada 13 Jun lalu.

Datin Fadilah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chik meninggalkan rumah tempat beliau dan arwah suaminya menetap pada awal September lalu walaupun belum habis edah.

Beliau sedar tentu ada yang mempertikaikan keputusannya kerana edah seorang isteri yang kematian suami ialah empat bulan 10 hari. Tetapi apa jua tindakannya, beliau telah merujuk kepada mereka yang arif tentang agama.

SAAT bahagia … Fadilah Mansor bersama, Allahyarham suami, A.Rahman Hassan di Taman Sri Ukay.

Selain tidak mampu membayar sewa bulanannya RM4,000 banyak memori indah bersama Allahyarham suami di rumah berkenaan juga antara sebab mengapa beliau berpindah ke rumah lain.

Datin Fadilah Mansor dan Datuk A.Rahman Hassan bernikah pada 25 Disember 2014. Majlis persandingan mereka diadakan di PWTC.

Menurut beliau, selama empat setengah tahun hidup bersama, Allahyarham menjaga dan melayannya bagaikan ‘seorang permaisuri.’

“Arwah Abang memang seorang suami yang baik. Apa juga karenah Kak Chik, Abang sabar.
Malah Abang akan pastikan Kak Chik tidak berada dalam keadaan sedih.

“Sikap Arwah Abang yang amat penyayang dan suka bergurau membuatkan Kak Chik amat terasa kehilangan Abang apalagi bila melihat setiap sudut di rumah itu, Kak Chik terpandang Abang.

DATIN Fadilah [email protected] Chik di hadapan rumah kembar dua tingkat miliknya, MR Regency 2, di Rawang, Selangor.

“Sejak berkahwin kami tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama dalam setiap majlis undangan.

“Tetapi Arwah Abang amat menghormati karier Kak Chik dan tidak pernah ikut apabila Kak Chik pergi shooting,” cerita Kak Chik mengimbas semula kenangan indah hidup bersama suaminya, Allahyarham A.Rahman Hassan penyanyi Pop Yeh Yeh yang cukup popular dengan lagu “Tak Mengapa.”

Menurut Kak Chik, jika rumah di Taman Sri Ukay itu milik Allahyarham suaminya mungkin beliau tidak berpindah tetapi itu hanyalah rumah sewa.

“Arwah Abang memang tidak pernah beli rumah kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak apabila Abang dah tiada.

“Sejak Abang meninggal, anak-anak dan menantu Arwah sering melawat Kak Chik. Mereka memang anak yang baik.

“Sebelum berpindah, Kak Chik beritahu anak-anak Arwah. Mulanya mereka mahukan Kak Chik duduk di rumah sehingga habis edah tetapi setelah Kak Chik beritahu sebabnya dan mereka merujuk kepada mereka yang arif tentang agama, akhirnya mereka menghormati keputusan Kak Chik,”cerita Kak Chik.

Bagaimanapun, Kak Chik bersama anak-anak Allahyarham, Khir Rahman dan Khairul Azmi dan keluarga mereka mengadakan majlis tahlil genap 100 hari di banglo berkenaan.

Selepas keluar dari rumah di Taman Sri Ukay, Kak Chik berpindah ke rumahnya di MR Regency 2, di Rawang, Selangor.

Kak Chik membeli rumah berkenaan setelah menjual kondo miliknya di Ampang. Kondo berkenaan dibeli hasil pendapatannya selama 30 tahun sebagai dramatis.

KENANGAN: Gambar ini dirakamkan pada Hari Raya Aidil Fitri tahun ini iaitu lapan hari sebelum Datuk A.Rahman Hassan meninggal dunia.

“Dalam usia 61 tahun ni memang susah nak beli rumah. Kak Chik, pakai nama anak dan alhamdulillah dengan sedikit simpanan dan tawaran berlakon Kak Chik mampu membayarnya,” kata Kak Chik.

Kini Kak Chik menetap di rumah sendiri bersama anak bungsu, Faesal Aswad Ibrahim, 24, yang masih belajar dalam jurusan perniagaan di tahun akhir di UNI KL, anak sulungnya, Aliyah Farhani,28, dan menantu, Mohamad Danial berserta cucu, Mateen Yusuf.

Walaupun telah memilikki rumah sendiri, namun Kak Chik melahirkan hasratnya yang tidak kesampaian.

“Selepas dua tahun menjadi isteri Abang, pada awal 2017, Kak Chik beli rumah ini secara rahsia. Sebabnya Kak Chik nak surprisekan Abang sempena ulangtahun kelima perkahwinan kami pada 25 Disember ini. Ketentuan Allah, Abang meninggal sebelum rumah ni siap pada Ogos lalu,” luah Kak Chik.

Setelah ‘bercuti’ hampir tiga bulan, Kak Chik menerima
tawaran berlakon daripada Metrowealth Sdn. Bhd. pada September lalu.

Drama 49 episod “Suri Katriana” dengan cerita asal SlenFadzil yang disiarkan di Astro adalah drama pertama lakonan Kak Chik setelah habis edah.

Dalam drama itu, Kak Chik berlakon sebagai Mak Limah berpasangan dengan Kazar Saisi dalam enam episod sahaja.

” Sebagai Mak Limah, watak itu benar-benar mencabar emosi Kak Chik. Dalam drama itu, Mak Limah kematian suami dan ketika melakonkan babak itu, Kak Chik memang sedih sangat kerana teringat Arwah Abang,” cerita Kak Chik.

Drama terbaru lakonan beliau, “Rajuk Rokiah” akan disiarkan di RTM tidak lama lagi. Drama komedi arahan Othman Hafsham ini, meletakkan Kak Chik sebagai pelakon utama berpasangan dengan Fadhil Dani.

“Insyaa-Allah pada minggu pertama Disember ini, Kak Chik akan mula menjalani penggambaran filem Polis Evo 3.

“Walaupun dalam filem itu, Kak Chik sebagai pelakon undangan dan babaknya tidak banyak, alhamdulillah…rezeki anugerah-Nya,” luah Kak Chik penuh kesyukuran.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here