Oleh Amree Ahmad

KELAZIMANNYA, setiap kali tiba Jumaat minggu terakhir pada November merupakan hari paling dinantikan dan juga ‘digeruni’ penuh debaran semua pemain industri media cetak tempatan.

Apa tidaknya, hari tersebut merupakan detik firma pengauditan akhbar ternama antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) akan keluarkan laporan prestasi jualan akhbar di Malaysia.

Data diterbitkan badan sekutu International Federation of ABC berpusat di Sweden itu meliputi rekod diaudit bersih bagi separuh pertama tahunan iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun sahaja.

Manakala baki tempoh separuh kedua yang merangkumi dari 1 Julai hingga 31 Disember pula akan dikeluarkan pihak ABC pada setiap hari Jumaat minggu terakhir Mei bagi tahun berikutnya.

Ironi pada kali ini, sekretariat ABC Malaysia yang berpangkalan di Kuala Lumpur kelihatan ‘langgar’ tradisi tahunan itu apabila laporan enam bulan pertama tahun ini diterbitkan lebih awal.

Bayangkan tanpa dijangka, data berkenaan disiarkan kepada umum menerusi laman sesawang rasminya pada Jumaat minggu kedua November iaitu 14 hari lebih cepat daripada kebiasaan.

Sama ada pantas atau lambat sebenarnya bukan isu utama, namun laporan ABC kali ini tampak ‘terpaksa’ dikeluarkan awal ekoran banyak faktor termasuk ketiadaan akhbar-akhbar tertentu.

Antaranya harian berbahasa Tamil paling tua di negara ini, Tamil Nesan yang dihentikan penerbitan pada 1 Februari lalu setelah 95 tahun beroperasi sejak 1924 akibat isu kewangan.

Juga paling dapat banyak perhatian pelbagai pihak iaitu penutupan secara mengejut akhbar terbitan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 9 Oktober lepas atas sebab sama.

Ketiadaan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad jelas amat dirasai industri media massa sementelahan Kumpulan Utusan baru rai usia 80 tahun pada 29 Mei lalu.

Situasi ‘vakum’ tidak disangka itu turut menyaksikan data ABC kali ini tiada rekod edaran untuk empat akhbar syarikat tersebut yang sering megah mendominasi seksyen berbahasa Melayu.

Keadaan itu menyebabkan lawan Kumpulan Utusan iaitu NSTP (Malaysia) Berhad buat julung kalinya dalam sejarah mula kuasai carta akhbar berbahasa Melayu tanpa ada saingan langsung.

Metro Ahad muncul jadi akhbar Melayu paling laris dengan edaran 79,049 naskhah, sementara ‘abangnya’ Harian Metro pula dinobatkan akhbar harian Melayu No.1 dengan 74,314 naskhah.

Tidak ketinggalan, Berita Harian dan BH Ahad masing-masing catat edaran 66,524 dan 44,995 naskhah. Anehnya kenapa tiada akhbar-akhbar Kumpulan Utusan pada tempoh berkenaan?

Sebenarnya ada dua kemungkinan kepada situasi pelik ini berlaku walhal empat akhbar syarikat tersebut baru dihenti penerbitan pada awal Oktober lalu iaitu tempoh separuh kedua tahunan.

Pertama, ada kebarangkalian pihak pemasaran Kumpulan Utusan tidak sempat hantar laporan terkini edaran diaudit bagi tempoh separuh pertama tahunan kerana notis penutupan mengejut.

Difahamkan data itu sepatutnya dihantar kepada pihak ABC untuk dimuktamadkan tetapi ekoran tindakan tergesa-gesa Kumpulan Utusan tutup operasi, laporannya gagal disiapkan ikut jadual.

Berdasarkan unjuran kasar, Mingguan Malaysia masih kekal akhbar Melayu No.1 dengan edaran sekitar 200,000 naskhah, manakala Kosmo! gah harian Melayu terlaris iaitu 130,000 naskhah.

Utusan Malaysia pula sebenarnya terus atasi lawannya Berita Harian dengan edaran semasa dianggarkan 95,000 naskhah, sementara Kosmo! Ahad masih stabil sekitar 135,000 naskhah.

Kedua, ada kebarangkalian juga pihak ABC tidak dapat memuktamadkan data Kumpulan Utusan kerana syarikat akhbar itu secara teknikal dianggap sebagai tidak wujud atau disebut ‘dormant’.

Ini bermakna, waima ia secara rasmi ditutup pada awal Oktober, namun laporan tempoh separuh pertama tahunan turut sama ‘terkesan’ bagi beri gambaran syarikat itu tidak lagi beroperasi.

Hakikatnya, penutupan akhbar-akhbar Kumpulan Utusan ternyata jejas ‘rentak’ prestasi media cetak di Malaysia seumpama berita buruk dan penamat industri persuratkhabaran tempatan.

Mungkin Kumpulan NSTP ‘gembira’ jadi peneraju carta, namun apalah maknanya kemenangan luar biasa itu dengan ketiadaan lawan yang ibarat buku belum bertemu ruas yang sebenar!

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here