FOTO: PENGERUSI ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (dua, kiri) menyampaikan ucapan dalam forum Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya: Masa Depan Demokrasi Berpalimen di Malaysia. Hadir sama ialah (dari kiri) Moderator, Nazri Kahar, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Pengerusi Jawatankuasa Reform Dewan Rakyat, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Timbalan Pengerusi Surhanjaya Pilihan Raya, Dr Azmi Sharon. NSTP/SUPIAN AHMAD

 

Oleh KAKI BANGKU

KALAU Hari Raya pun boleh ditetapkan tarikhnya lebih awal tanpa terlalu bergantung dengan nampak atau tidak anak bulan lagi, mengapa tidak Pilihan Raya Umum (PRU)?
Mungkin juga ditetapkan secara genap empat atau lima tahun iaitu 9 Mei 2022 atau 9 Mei 2023 berdasarkan tarikh PRU Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu tanpa perlu menurut tarikh atau tempoh selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.
Penetapan tarikh PRU sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal juga merupakan antara kandungan laporan sementara 15 perkara penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya yang dicadangkan Suruhanjaya Penambahbaikan Pilihan Raya (ERC).
“Penetapan ini bertujuan memberikan persediaan dan keadilan kepada parti politik dan orang ramai serta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).
“Jika kita umum tarikh PRU secara mengejut dan kadangkala berlaku pula pindaannya oleh kerajaan yang berasa sukar memenanginya ketika itu, banyak kos sudah terbazir dan masa untuk melatih antara 30,000 hingga 40,000 petugas pilihan raya,” kata Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.
Beliau ditemui selepas menjadi ahli panel Sesi Sembang Makan Malam bertajuk ‘Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya: Masa Depan Demokrasi Berparlimen di Malaysia’ anjuran Akademi Kepimpinan dan Pengurusan (AKP) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Asil (Bersih 2.0).
Katanya, laporan itu sudah berada pada peringkat akhir untuk disiapkan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pada akhir bulan depan.
Turut serta ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hanson; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara (JKRDN), Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom.
Mohd. Rashid pula menyarankan kemungkinan tarikh PRU boleh ditetapkan secara genap empat atau lima tahun iaitu 9 Mei 2022 atau 9 Mei 2023 berdasarkan tarikh PRU Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu tanpa perlu menurut tarikh atau tempoh tertentu sejurus selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (Dewan Rakyat).
Azmi berpendapat, ada kemungkinan PRU akan datang memansuhkan terus pemasangan poster-poster yang baginya ‘melucukan’, hanya membazir wang, merosakkan alam sekitar dan bersepah-sepah serta mampu menjimatkan wang cengkeram parti politik yang bertanding kepada majlis perbandaran.
“Pada era dulu PRU, mungkin poster ini diperlukan kerana orang ramai tiada akses dengan media seperti sekarang. Parti politik seperti sudah jadi ketagih poster dan ini saya rasa memang ‘kelakar’. Calon-calonnya berasa jika tiada poster, diri mereka tidak wujud pada pengundi.
“Mungkin kita boleh ikut macam negara luar, bila PRU, cuma perlu ada satu dua billboard (papan iklan),” katanya ketika menjawab soalan seorang hadirin sesi tersebut.
Mengenai kemungkinan diperkenalkan sistem pengundian elektronik atau atas talian (online), kata Ab. Rashid yang juga bekas Pengerusi SPR selama lapan tahun dan terlibat dalam enam PRU, “ERC tidak akan menyarankannya kerana saya dapati orang ramai masih seronok dengan suasana pengundian sekarang (hadir beratur di pusat mengundi dan memangkah kertas).”
Azmi yang turut tidak bersetuju dengan pengundian online, menegaskan, “jika sistem sekarang tidak rosak, jangan perbaikinya. Jangan kerana kita ghairah dengan teknologi, maka kita pun hendak menukarnya.
“India mampu menerapkan pengundian online kerana pengundi dan penduduknya terlalu ramai, berjuta-juta orang sedangkan Malaysia, masih kecil,” katanya.
-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here