Gol Safawi 10 terbaik Liga Juara-juara Asia 2019

0
293

Oleh KAKI BANGKU

EMPAT kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 pada 15 November lalu bagaikan belum memadai buat sayap kanan negara, Safawi Rasid, 22.

Dialah Pemain Paling Bernilai, Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan yang dinilai ABK sepanjang Liga Malaysia musim 2019.

Hari ini laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan sekali gus mengiktiraf jaringan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam Liga Juara-juara Asia (ACL), 9 April lalu sebagai antara 10 terbaik.

Jaringan menerusi rembatan padu kaki kidalnya dilakukan ketika JDT menentang kelab China, Shandong Luneng dalam saingan Kumpulan E ACL di Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong yang disaksikan 11,602 hadirin.

Mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59, Safawi melarikan bola biarpun disaingi pemain tuan rumah, Wu Xinghan lalu melepaskan rembatan melengkung dari sebelah kanan sejauh 22 meter biarpun JDT akhirnya tumpas 2-1.

Rembatan jarak jauh menerusi permainan terbuka mahupun sepakan bebas, sentiasa menjadi kegemarannya seperti gol pertama yang membantu Harimau Malaya membenam Indonesia 2-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November lalu.

Para peminat di seluruh dunia boleh mengundi Gol Terbaik ACL 2019 termasuk calon jaringan anak jati Dungun, Terengganu ini dengan melayari the-afc.com.

Sekalipun Anugerah Tahunan AFC di Hong Kong 2 Disember ini tidak mempunyai sebarang kategori yang mengiktiraf jaringan tercantik Asia, pencalonan ini tetap boleh dikira sebagai ala Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang pernah dimenangi pemain Pulau Pinang, Faiz Subri pada 2017.

Calon gol terbaik lain ACL 2019 yang turut menyaingi Safawi ialah Islom Tukhtakhujaev (PFC Lokomotiv lawan Al Wahda), Gonzalo Viera (Al Ittihad lawan Al Rayyan), Serginho (Kashima Antlers lawan JDT) dan Shojae Khalilzadeh (Persepolis lawan Al Ahli).

Lain-lain termasuk Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor lawan Al Sadd), Kim Dae-won (Daegu FC lawan Melbourne Victory), Romarinho (Al Rayyan lawan Al Ittihad), Khalid Muneer (Al Hilal lawan Al Duhail), Fabricio (Urawa Red Diamonds lawan Guangzhou Evergrande).

Ayuh rakyat Malaysia, undilah gol Safawi!

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here