Harimau Malaya melonjak ke-154 dunia, 31 Asia

0
173
TIGA kemenangan pada 9, 14 dan 19 November lalu membolehkan Harimau Malaya melonjak ke ranking 154 dunia.

Oleh KAKI BANGKU

TIGA kemenangan berturut-turut sejak 9 hingga 19 November lalu melonjakkan Harimau Malaya ke ranking ke-154 dunia atau naik empat anak tangga, menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Skuad Tan Cheng Hoe ini bermula dengan menundukkan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1 diikuti menumpaskan Thailand 2-1 dan Indonesia 2-0 dalam Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kesemua kemenangan di Stadium Nasional, Kota Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil itu turut membawa 31 mata buat skuad negara sekali gus mengumpul 1,040 mata, berbanding 1,009 mata ketika menghuni ranking ke-158 pada bulan lalu.

Malaysia juga kini menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan sembilan mata sejak membuka kempen kelayakan 5 September lalu, mengekori pendahulu Vietnam sambil mengatasi Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

Dalam kalangan negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Harimau Malaya juga naik setakuk, dari ke-32 kepada 31 benua itu yang diterajui Jepun diikuti Iran, Korea Selatan, Australia dan Qatar.

Namun kemenangan 2-1 terhadap Maldives dalam persahabatan yang berlangsung secara tiga babak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban tidak boleh diambil kira kerana bukan dalam kalendar pertandingan FIFA.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengatur beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa berdasarkan kalendar itu sebagai persiapan skuad Cheng Hoe menghadapi baki tiga aksi kelayakan pada tahun depan.

Harimau Malaya hanya akan kembali menyambung pemburuan tiket pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan slot automatik pusingan akhir Piala Asia dengan bertandang ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), 26 Mac ini.

Lima hari kemudian, Cheng Hoe & Co. di Bukit Jalil bakal menanti kunjungan ‘Si Naga Emas’ Vietnam untuk melunaskan dendam kekalahan 1-0 di Hanoi, 10 Oktober lalu sebelum menghitung nasib muktamadnya di Thailand, 9 Jun depan.

Sayap kiri naturalisasi dari Gambia, Mohamadou Sumareh mengetuai senarai penjaring negara dalam kelayakan dengan tiga gol, diikuti Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid masing-masing dua gol dan satu gol Brendan Gan.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here