Kemaraan B22 kini bersyarat, penyingkiran Sukan SEA kian pasti

1
430

Oleh KAKI BANGKU

DATUK Ong Kim Swee akur kini skuad Bawah 22 Tahun Malaysia bimbingannya hanya akan layak untuk meneruskan pemburuan pingat Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 secara matematik.

Setelah sekadar beroleh satu mata dalam Kumpulan A dengan mengikat Myanmar 1-1, Isnin lalu dan tumpas 1-0 kepada tuan rumah, semalam, ketua jurulatih itu tetap menaruh harapan biarpun semakin tipis dan pudar.

Syaratnya semakin ketat sekarang – tewaskan Timor Leste, Isnin ini dan Kemboja, dua hari kemudian dengan jaringan yang besar sambil ‘menagih’ simpati malah talian hayat daripada Myanmar dan Filipina dalam keputusan baki aksi mereka.

Dengan hanya satu gol Hadi Fayyadh Razak yang mengikat Myanmar dan skuad Ong berputih mata semalam, Stadium Peringatan Rizal, Manila kini mengimbas semula ‘Memori Hitam Sukan SEA 1991’.

Di sini jugalah skuad bimbingan Abd. Rahim Abdullah diaibkan tuan rumah 1-0 selepas tumpas 2-0 kepada Indonesia dan sudah terlambat untuk menang 2-1 dengan Vietnam dalam saingan Kumpulan B.

SKUAD B22 negara bekerja keras selepas ‘kelaparan tiga mata’ berbanding pasukan Filipina yang dipimpin Stepen Schrock (kanan).

Malaysia terhumban ke tempat keempat Kumpulan A sedangkan Myanmar menerajuinya dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan diikuti Kemboja dan tuan rumah, masing-masing mengumpul empat mata.

“Kami harus malu dengan keputusan yang tidak baik ini. Filipina menang dengan situasi bola mati tetapi itu tandanya lawan lebih baik dan lebih ‘laparkan’ kemenangan.

“Daripada segi matematiknya kita masih berpeluang ke separuh akhir. Pemain-pemain kena bangkit sekarang dan tunjukkan perwatakan untuk memenangi dua perlawanan lagi,” kata Kim Swee.

Skuad B22 negara dijinakkan Junior Azkals gara-gara tolakan kurang kemas penjaga gol kita, Haziq Nadzli ketika menangani sepakan sudut Stephan Schrock pada minit ke-72.

Haziq sekali lagi dihukum yang mirip gol pemain Myanmar, Isnin lalu angkara tangkapan bolanya yang terlucut dan memberikan sepakan sudut yang disudahkan dengan tandukan Soe Moe Kyaw.

Selain ketumpulan penyudah dan peluang gol biarpun menampilkan formasi menyerang, 3-5-2, hanya sepakan bebas kapten Adam Nor Azlin pada minit ke-23 yang tampak benar-benar menguji kubu Filipina.

Rombakan kesebelasan utama pasti berlegar pada minda Kim Swee dalam tempoh rehat dua hari ini dengan tumpuan terarah kembali kepada barisan depan.

Apakah ini juga detik terbaik untuk penjaga gol simpanan, Damien Lim Chien Khai diuji dengan Timor Leste dan Kemboja?

Bagaimana dengan Luqman Hakim Shamsudin yang dikeluarkan menentang Myanmar dan masuk sebagai gantian semalam.

Penyerang remaja yang menonjol dalam Kelayakan Bawah 19 AFC ini, memerlukan lebih banyak masa untuk membentuk persefahaman dengan anggota Harimau Malaya seperti Adam, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid dan Syahmi Safari.

Namun jika peluang dan kepercayaan tidak terus diberikan, bagaimana ilmu dan pengalaman mampu ditimbanya? Hadi juga perlu lebih tajam, saiz tinggi dan tegap pemain kelab divisyen dua Jepun ini wajar menggerunkan lawan!

Jika penyerang Fagiano Okayama ini masih kurang menyengat nanti, di mana pula pemain kacukan Malaysia-Australia yang berpangkalan di kelab Central Coast Mariners, Quentin Cheng? Mahu diperam di bangku simpanan lagi, Datuk?

-BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Luka lama SEA Games Jakarta 1997 berulang…. masa tu Laos tumpaskan kita di peringkat kumpulan..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here