SERAMAI 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, diketuai timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali, sebulat suara menolak keputusan memecat Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP, selain meminta presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf atas tindakan itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang antara lain ditandatangani oleh Azmin; 2 naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, mereka menyifatkan pemecatan tersebut sebagai cacat dan tidak sah.

“Kami selaku ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang dipilih bagi sesi 2018-2021 dengan ini sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP seperti diumumkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kassim walaupun syor yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin sendiri hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.

“Perkara ini dicapai setelah kami meneliti dan mendapati keputusan memecat beliau adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengakui kekhilafan mencadangkan PKR mengambil tindakan ke atas 2 ahlinya.

Pada Ahad, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR Pahang Ismail Dulhadi selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah semasa pemilihan parti itu tahun lepas.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ahmad berkata, keputusan tersebut diambil susulan surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Oktober yang mencadangkan tindakan diambil ke atas individu terbabit.

Anwar sebelum ini mempertahankan keputusan pemecatan Zakaria.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki kemudiannya berkata, badan itu khilaf kerana menghantar surat mencadangkan tindakan tatatrtib diambil ke atas Zakaria dan Ismail.

Beliau berkata, mengikut garis panduan tatatertib yang mesti diikuti oleh SPRM, laporan berkait salah laku hanya dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/30/majoriti-pimpinan-pkr-tolak-pecat-zakaria-minta-anwar-mohon-maaf/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here