Pusat Autisme Langkawi perlukan sokongan dana masyarakat

0
739

KUALA LUMPUR – Persatuan Autisme Langkawi bercadang membangunkan Pusat Intervensi Autisme di negeri tersebut bagi menawarkan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autism (ASD).

Menurut Pengerusi persatuan, Mastura Abdul Mutalib, pusat yang bakal dibangunkan di Mukim Darul Aman, Persiaran Mutiara 2, Kuah itu akan dapat membantu ibu bapa mendapatkan akses kepada perkhidmatan pendidikan pada kadar yuran yang berpatutan.

“Atau ia mungkin akan ditaja atau disumbangkan oleh mana-mana individu atau syarikat korporat bagi membantu perbelanjaan operasi bulanan,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Mastura menerangkan, secara lazimnya, mereka yang menghadapi autisme semakin meningkat di seluruh dunia dan di Malaysia, tiada pendaftaran rasmi untuk bilangan kanak-kanak dengan autisme. Ini kerana sebahagiannya dikategorikan sebagai kurang upaya dalam pembelajaran dan juga kognitif lain, bagaimanapun daripada tinjauan semasa menganggarkan lebih kurang 8,000 hingga 9,000 kanak-kanak lahir dengan autisme setiap tahun.

Kanak-kanak yang terjejas dengan ASD akan terlepas pengalaman berharga seperti kehidupan bersosial, pendidikan dan masa lapang berbanding kanak-kanak lain yang sama dengan umur mereka.

“Oleh itu, program intervensi awal adalah sangat penting,” jelasnya.

Tambah beliau, mendidik kanak-kanak dengan autisme tetap menjadi cabaran bagi kebanyakan ibu bapa dan sasaran pendidikan tidak tercapai yang mana ramai kanak-kanak dengan ASD tidak mempunyai akses kepada apa-apa jenis sekolah, termasuklah pendidikan di sekolah biasa yang dapat mengembangkan bakat dan keupayaan mereka pada tahap sepenuhnya.

AHLI jawatankuasa autisme Langkawi

Jelasnya, pusat ini bakal menyediakan program intervensi yang berpatutan untuk memenuhi keluarga berpendapatan rendah dengan persekitaran pembelajaran yang selesa serta kemudahan dan bahan pembelajaran yang mencukupi.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, pusat yang akan menempatkan sebilangan kecil pelajar untuk seorang guru itu bakal menawarkan program harian yang dibimbingi oleh guru terlatih atau guru intervensi.

“Kanak-kanak akan menerima antara 15 hingga 20 jam pembelajaran secara berkumpulan termasuk 30 minit secara individu setiap hari,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, bagi merealisasikan penubuhan projek amal tersebut, sejumlah wang diperlukan daripada sumbangan orang ramai dan syarikat swasta.

Dana yang diperlukan ialah sebanyak RM300,000 sebagai kos pengembangan modal, jumlah kos operasi sebanyak RM30,000 setiap bulan dan nilai kos yang diluar jangka pula ialah sebanyak RM30,000.

“Kami mempelawa mana-mana syarikat atau individu yang bermurah hati untuk tampil membantu pusat ini sama ada dengan menjadikan pusat ini sebagai anak angkat atau membiayai program atau membantu membayar yuran program kanak-kanak,” jelas beliau.

Untuk keterangan lanjut mengenai persatuan dan projek pusat baharu ini, boleh menghubungi Mastura di talian 018-366 1457 atau 013-419 3588 (Bendahari, Badril Husni).

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here