FOTO: bbc.com.

Oleh FETTY RARA

DI sebuah kedai roti di Gȍztepe, sebuah bandar berhampiran Kadikȍy di sebelah Asia bandar raya Istanbul, semua jenis roti dibuat di situ menggunakan dapur kayu. Mana-mana ruang yang tidak disusun dengan lebih 1,200 buku roti yang dihasilkan setiap hari akan dipenuhi dengan jenis roti lain, termasuk baguette, roti jagung, roti pelbagai bijirin, roti rai, kek, biskut dan pastri.

Dalam kesibukan asakan pelanggan kadangkala kita ternampak pemilik kedai memberikan sebuku roti kepada seseorang pelanggan tanpa menerima bayaran.

Pada waktu lain kita melihat pelanggan membayar untuk dua buku roti tetapi hanya mengambil sebuku.

Di banyak negara barat amalan sedemikian telah menjadi perkara lumrah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seperti pelanggan membayar lebih untuk secawan kopi atau set makanan dengan niat supaya bayaran lebih itu digunakan oleh pemilik kedai untuk memberikan makanan percuma kepada yang tidak berkemampuan.

Di Turki, idea tersebut mempunyai sejarah yang lama hingga berkurun. Ia dipanggil ‘Askida ekmek’ yang membawa erti bayar terlebih dahulu dengan roti sebagai elemen ‘akad.’

‘Askida ekmek’ yang bermaksud ‘roti di ampaian’ mempunyai asal usulnya dalam Islam. Caranya begini:

Pelanggan berkunjung ke kedai roti untuk membeli dua buku roti, tetapi mengambil hanya sebuku. Sewaktu membayar pelanggan akan memberitahu penjual bahawa buku roti yang satu lagi ialah ‘Askida ekmek.’ Selepas itu roti yang tidak diambil itu akan digantung dengan lain-lain roti ‘Askida ekmek.

Apabila masuk pelanggan lain sepanjang hari dan bertanyakan, ‘ Askida ekmek var mi?’ (Adakah roti di ampaian?”), mereka boleh terus mengambilnya dengan percuma.

Tidak pasti bila dan bagaimana amalan tersebut bermula walaupun tradisi agak serupa didapati di beberapa negara, termasuk di Itali yang merujuk kepada ‘caffee sospeso.’

Menurut pakar sejarah perhubungan Islam-Kristian,  Profesor Febe Armanios di Middlesbury College di Vermont, Amerika Syarikat, amalan itu mempunyai akarnya sewaktu zaman pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah dan mempunyai kaitan dengan ibadah zakat di mana kewajipan membayarnya boleh dilakukan sama ada menggunakan wang atau bekalan makanan.

Menurut beliau banyak disebut tentang amalan berkenaan dalam Islam, termasuk dalam beberapa hadis.

Justeru, sama ada membayar dengan roti untuk asnaf atau untuk pelajar daif di universiti, falsafah di sebalik ‘Askida ekmek’ ialah usaha membantu orang lain tanpa mengharapkan imbuhan mahu pun pujian kerana tujuannya agar si penerima boleh menjalankan hidup bermaruah sama dengan anggota masyarakat lain.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here