Joey Daud tak berlawak, jadi hos pula

0
485
JOEY Daud diberi kepercayaan untuk menjadi hos Stand Up Comedy Otai mulai 5 Disember ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM Maharaja Lawak Mega, Joey Daud bergandingan dengan Khir Rahman dan Vicha sebagai anggota kumpulan J-Born. Mulai 5 Disember ini, Joey tidak lagi bersama mereka kerana beliau diberi tanggungjawab untuk beraksi solo dalam program Stand Up Comedy Otai.

Untuk Stand Up Comedy Otai yang akan disiarkan pada pukul 9.30 malam menerusi saluran Asro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124), penampilan Joey berbeza.
Kali ini, untuk pertama kalinya Joey diberi tugasan sebagai hos Stand Up Comedy Otai yang membabitkan 18 pelakon dan pelawak veteran tanah air.

Barisan artis yang menjayakan program komedi baharu itu adalah AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angelina Tan. Azlee Senario, Hamdan Ramli, Saiful Apek, Sheila Mambo, Mr. Rama, Datuk Shah Reza, Wan Maimunah, Pak Ya Senario, Jaafar Onn, Shamsul Ghau Ghau, Imuda, Ebby Yus, Jalil Hamid dan Sathiya.

“Saya berterima kasih kepada Astro kerana memberi peluang kepada saya untuk mengendali program yang melibatkan otai. Dengan adanya program begini, kita sedarlah yang pihak Astro tidak meminggirkan orang lama.

“Ini pertama kali saya menjadi hos program tapi di waktu yang sama terasa diri saya kecil berbanding otai-otai yang terlibat. Saya yakin dengan adanya program begini, nama otai tak akan dilupakan dalam industri seni,” katanya kepada BebasNews.

Menurut Joey, walaupun itu kali pertama beliau menjadi hos untuk program TV, namun tugasan sebagai pengacara bukanlah yang baharu kepadanya.

NORZEHA Mohd.Salleh (tengah) bersama peserta dan pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.

Jelasnya, selain mendapat tawaran menyanyi, beliau juga sering diundang untuk menjadi pengacara majlis.

“Astro tawar saya mungkin sebab nak cuba sesuatu yang baharu. Mereka tak pernah tengok saya mengacara di TV tapi di luar saya kerap melakukan tugasan itu.

“Bila mereka pelawa, saya anggap ini rezeki. Cuma yang saya agak seram nak pikul tanggungjawab itu bila berhadapan dengan otai-otai yang terbabit,” ceritanya yang menjadi pengacara untuk majlis makan malam atau korporat.

Sementara itu, katanya, untuk mendapat keserasian dengan peserta, beliau selalu bersama mereka.

“Saya selalu bersama mereka untuk mendapatkan keserasian. Sekurang-kurangnya bila kita bergurau dengan mereka tidak akan ada rasa bersalah sebab kita berbincang dulu.

“Bukan setakat bergaul dengan peserta, saya juga banyak buat rujukan di YouTube tentang cara menJadi pengacara dan selalu juga bertanya kepada mereka yang sering mengacara program,” katanya tanpa berselindung.

Sementara itu, Ketua Saluran Astro Warna, Prima dan InTrend, Norzeha Mohd. Saleh berkata, program Stand Up Comedy Otai merupakan sebahagian dari inisiatif tanggungjawab korporat Astro bagi merealisasikan misi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Jelasnya, matlamat Astro adalah untuk memperbanyakkan penglibatan penggiat seni veteran di Malaysia agar terus kekal aktif dan relevan dalam industri.

“Sokongan sedemikian merupakan usaha berterusan Astro dalam menjaga kebajikan penggiat seni tanah air, khususnya artis veteran.

“Di pentas Stand Up Comedy Otai, artis ini diberi platform untuk turut sama berkongsi pengalaman mereka dalam mengharungi dunia seni yang penuh warna-warni itu,”katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here