Thailand pertaruhkan Raja Libas Pornchai lagi

0
275
THAILAND kembali menampilkan Raja Libasnya, Pornchai Kaokaew dalam Sukan SEA di Filipina - penampilan kesembilannya sejak 2003.


Oleh KAKI BANGKU @ ABDUL HAFIZ AHMAD

SEBENARNYA sudah bukan majlis undian rasmi sepak takraw Sukan SEA Filipina 2019 lagi!
Hari ini temasya edisi ke-30 hendak dirasmikan Presiden Rodrigo Duterte di Arena Filipina, Bulacan 30 kilometer ke utara ibu negara Manila, baru sekarang Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) hendak sibuk melakukannya?

Pelik bin ajaib! Adakah salah Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Phisgoc) juga kerana undian sukan berpasukan sepatutnya sudah diselesaikan pertengahan Oktober lalu?
Majlis di Teluk Subic semalam sebaliknya seperti sekadar pengesahan penyertaan pasukan bertanding kecuali bagi acara beregu berpasukan lelaki kerana mengandungi tujuh pasukan.

Acara selebihnya seperti gelung, regu berpasukan, antara regu lelaki dan wanita seperti diduga tidak memerlukan pembahagian kumpulan pun bagi sepak takraw Sukan SEA di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon.

Menariknya kali ini skuad negara bimbingan Abd. Talib Ahmad sudah tidak mampu mengelak bertemu Thailand lagi atau diberi laluan mudah untuk meraih pingat emas tanpa Si Gajah Putih seperti Sukan SEA Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Acara antara regu menemukan buku dan ruas apabila disertai kedua-dua musuh tradisi ini selain tuan rumah, Vietnam dan Singapura dengan skuad Talib selaku juara bertahan.
Jadi tiada lagi gelaran ‘pingat emas pondan’ atau Gred B jika diraih skuad negara dalam kedua-dua Sukan SEA lalu dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 seperti mana yang pernah dilabel oleh bekas Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Markiman Kobiran.

Namun yang lebih menarik dan mirip bertaraf dunia ialah perebutan emas regu berpasukan kerana menampilkan dua musuh tradisi ini lagi di samping Indonesia, Myanmar dan tuan rumah.

Kesemua pasukan ini jika dicampur Korea Selatan dari luar Asia Tenggara, merupakan lima handalan dunia berdasarkan prestasi konsisten mereka dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand yang berlangsung setiap tahun.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas regu berpasukan ialah pada Sukan SEA Manila 1991 di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman termasuk emas antara regu sekali gus gelaran berganda dan pencapaian terbaik dalam sejarah temasya dwitahunan ini.

Sayangnya Astaf tidak mewajibkan setiap negara ahli gabungannya, menyertai acara tertua sepak takraw Sukan SEA sejak diperkenalkan pada 1965 di Kuala Lumpur yang ketika itu dikenali sebagai Sukan SEAP.

Kerana memerlukan kos penghantaran atlet yang lebih besar, kebanyakan negara rantau ini kerap memilih acara yang lebih murah dan bersaiz kecil, antara regu atau beregu yang melibatkan antara tiga hingga lima pemain sahaja.

Sekalipun dasar larangan monopoli diteruskan Astaf sejak Sukan SEA Laos 2009 iaitu setiap negara peserta kecuali tuan rumah hanya boleh masuk dua atau tiga acara, pasukan kerdil seperti Laos, Kemboja, Brunei dan Vietnam gemar memilih yang mereka berprospek cerah pingat.

Thailand kembali dengan Raja Libas veterannya, Pornchai Kaokaew, 38, yang menyertai Sukan SEA sejak 2003 dan sudah mengumpul lebih sedozen pingat emas dengan gandingan serasinya, Sittipong Khamchan (tekong) dan Pattarapong Yupadee (apit kiri/pengumpan).

Lain-lain termasuk Jantarit Khukaeo, Kritsanapong Nontakote, Pornthep Tinbangbon, Yotsawat Uthaijaronsri (tekong), Anuwat Chaichana, Thawisak Thongsai, Jirasak Pakbuangoen (perejam), Rachan Viphan dan Assadin Wongyota (pengumpan).

Kali ini skuad Kamol Tankimhong ini ‘menyedekahkan’ acara karya Thailand, gelung yang diperkenalkan di Filipina 2005 untuk disaingi tuan rumah, Laos dan Kemboja yang masing-masing sudah pun menjamin pingat sebelum berangkat ke venue lagi.

SENARAI NEGARA PESERTA SEPAK TAKRAW SUKAN SEA 2019
Gelung
Lelaki: Filipina, Laos, Kemboja
Wanita: Indonesia, Filipina, Laos, Myanmar

Beregu berpasukan (lelaki sahaja)
Kumpulan A: Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar
Kumpulan B: Indonesia, Filipina, Singapura

Antara regu
Lelaki: Singapura, MALAYSIA, Thailand, Filipina, Vietnam
Wanita: Thailand, Vietnam, MALAYSIA, Filipina

Regu berpasukan (lelaki sahaja)
Indonesia, Myanmar, MALAYSIA, Thailand, Filipina

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here