Yusuf Bahrin mula dapat perhatian

0
303
BERSAMA Ben Amir dalam drama Sweet Dreams.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEWAKTU saya ke lokasi drama bersiri Satukan Rasa, terdengar kru panggil YB, ingatkan ada Yang Berhormat datang. Rupa-rupanya YB adalah nama singkatan untuk Yusuf Bahrin.

Yusuf, 27, bertuah kerana dua drama lakonannya, Satukan Rasa yang akan berakhir Khamis ini (20 episod) dan Sweet Dreams sebelum ini trending, biarpun beliau hanya pelakon pembantu.

“Saya bukanlah siapa-siapa dalam industri ini. Mungkin sudah rezeki saya, kedua-dua drama yang saya terlibat disukai ramai. Bila orang suka tengok, saya dapatlah tempiasnya.

“Kalau dalam Sweet Dreams, saya jadi doktor Amar dan sekarang sebagai Shah, seorang peguam. Walaupun watak saya itu sekadar pembantu tapi saya cuba adakan perbezaan karakter supaya orang tak jemu tengok kehadiran saya,” katanya yang mereka perwatakan untuk watak yang dilakonkan.

Jelasnya, dalam Sweet Dreams, setiap kali watak Amar bercakap, beliau akan angguk kepala sedikit. Manakala cara percakapan Shah pula berbeza daripada Amar.

Ujar Yusuf, kedua-dua karakter yang dilakonkan dicipta sendiri bagi  menampakkan perbezaan dan selainnya dilakonkan mengikut kehendak pengarah.

“Sebagai orang baharu, banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari. Setakat ini saya tak takut kalau buat salah kerana dari situ saya dapat belajar. Apa yang paling saya takut, kalau pengarah tak beritahu apa yang kita lakonkan itu sampai kepada kehendaknya atau tidak.

“Saya beruntung bekerja di bawah arahan Michael Ang dan Hadith Omar kerana mereka akan beritahu apa yang betul dan salah. Kalau tak okey, babak itu akan diulangi lagi hingga berjaya,” ceritanya tentang pengalaman berlakon di bawah arahan dua pengarah berbeza.

Beliau yang mengagumi lakonan Faizal Hussein berkata, pembabitannya dalam seni lakon bukanlah pilihan utama. Semuanya bermula apabila seorang rakan mencadangkan beliau pergi uji bakat sebuah telefilem.

“Saya tak sangka pun akan masuk dalam bidang lakonan ni, semua bermula kerana kawan saya yang bekerja sebagai kru produksi.  Dia yang suruh saya pergi uji bakat, banyak kali dia suruh tapi saya tak pergi, sampailah Hadith discover saya dekat Instagram dan suruh saya pergi uji bakat.

“Oktober tahun lepas saya pergi uji bakat tapi tak dapat pun untuk telefilem Lelaki Kelas, lakonan Ismail Izanni dan Nabila. Saya tak dapat sebab badan saya besar waktu itu. Nak jadi kawan kolej Ismail macam tak logik,” imbasnya tentang pengalaman uji bakat pertama.

BERSAMA Siti Nordiana untuk salah satu adegan Satukan Rasa.

Yusuf yang pernah mengikuti kelas lakonan bimbingan Fauziah Nawi berharap penglibatannya dalam bidang seni boleh membuka lebih banyak peluang untuknya.
Katanya, selain berlakon, beliau juga berminat untuk mencuba bidang pengacaraan khususnya program hiburan atau sukan.

“Bila tengok Nabil dan Jihan menjadi hos Gegar Vaganza macam seronok saja, nak juga cuba. Begitu juga kalau ada program sukan terutamanya yang berkaitan bola sepak atau futsal, bolehlah sebab saya aktif bermain sukan tersebut,” jelasnya.

Beliau yang sebelum ini pernah mengendali kedai gunting rambut bersama seorang rakan di Melaka berharap peluangnya dalam bidang seni terus berkembang.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here