‘Abu Chin Peng di dahi’: dua Ahli Parlimen digantung dua hari

    0
    658

    KUALA LUMPUR — Dua ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) diarahkan ‘bercuti’ selama dua hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas ingkar arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

    Kececohan timbul apabila Poay Tiong mahu Tajuddin dirujuk jawatankuasa Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap RSN Rayer (PH-Jelutong).

    Tajuddin dikatakan bertanyakan soalan kepada Rayer sama ada calit yang diletakkan atas dahinya itu adalah abu mayat Chin Peng atau tidak yang kemudiannya disifatkan Rayer sebagai menghina orang Hindu.

    Keadaan dewan kecoh apabila kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam mulut sebelum Mohamad Ariff mengeluarkan amaran untuk menghalau sesiapa keluar dari dewan jika terus menimbulkan kekecohan.

    Sejurus selepas itu, Mohamad Ariff memutuskan Tajuddin dan Poay Tiong digantung selama dua hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana ingkar arahan untuk bertenang dan duduk.

    “Dua-dua keluar dua hari,” kata Mohamad Ariff.

    Tajuddin kemudian membalas: “Terima kasih Tan Sri Speaker (Mohamad Ariff)…saya pun ada Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

    Terdahulu, kekecohan timbul pada sesi soal jawab oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik apabila Rayer mengemukakan cadangan supaya kisah-kisah tokoh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dimasukkan dalam silibus pelajaran di sekolah.

    Ketika itu, Tajuddin mencelah dan bertanyakan soalan kepada Rayer sama ada yang dicalit pada dahi itu abu mayat Chin Peng atau tidak.

    Pertanyaan Tajuddin itu kemudian membangkitkan kemarahan Rayer dan mahu Ahli Parlimen Pasir Salak itu menarik balik kenyataan itu yang disifatkan menghina orang Hindu di negara ini.

    “Ini (kenyataan Tajuddin) adalah menghina orang-orang Hindu..saya minta Pasir Salak (Tajuddin) minta maaf,” kata Rayer.

    Tajuddin kemudian menjelaskan: “Orang Hindu sahabat baik saya bukan macam Jelutong (Rayer),” katanya.

    Rayer bangun dan membalas: “YB Barisan Nasional (BN) telah menghina orang Hindu,” katanya.

    Sejurus selepas itu, Tajuddin kemudian menarik balik kenyataan dibuat sebelum ini terhadap Rayer.

    “Saya tarik balik…apa masalah,” katanya.

    Keadaan kembali kecoh apabila kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam mulut sebelum Mohamad Ariff mengeluarkan amaran untuk menghalau keluar dari dewan jika terus menimbulkan kekecohan.

    -NSTP
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here