Oleh AHMAD ABDUL HAMID

MASIH panas isu tulisan khat di sekolah-sekolah yang mendapat tentangan bukan Melayu khususnya, kini ada pula desakan agar pelajaran agama diajar di luar waktu sekolah.

Desakan ini datang daripada seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifah Munirah Alatas.

Alasan beliau kononnya untuk mengelakkan kanak-kanak daripada kaum lain berasa tersisih.

Baginya, sistem pendidikan tidak harus membuatkan pelajar, terutama yang bukan Islam, rasa berbeza antara satu sama lain.

Sejak bilakah pelajaran agama menyebabkan wujud jurang perbezaan antara murid, apatah lagi merasa tersisih?

Sebenarnya ini hanya andaian rambang untuk menjustifikasi keadaan sekarang di mana usaha perpaduan, termasuk dalam pendidikan, semakin mencabar.

Pastinya cabaran ini bukan disebabkan oleh pelajaran agama kerana ia memang untuk murid-murid Islam dan tidak menganggu sesiapa pun.

Jadi kenapa ia perlu diajar di luar waktu sekolah sedangkan tiada apa masalah diajar pada waktu sekolah seperti sekarang?

Pelajaran dalam waktu sekolah adalah cara terbaik murid-murid menyerap ilmu kerana minda mereka bersedia ke arah itu.

Tetapi di luar waktu sekolah mereka bagaikan terpaksa dan kemungkinan besar belajar dengan tidak sepenuh hati.

Dalam keadaan ini selalunya bangsa Melayu yang dipaksa berkompromi. Sekali lulus jarum maka berterusanlah lulus benang.

Alasan pelajaran agama dalam waktu sekolah boleh menyebabkan wujud perbezaan atau rasa tersisih adalah dangkal dan tidak perlu dilayan.

Lihatlah pada skop lebih besar yang sebenarnya mewujudkan perbezaan dan rasa tersisih ini.

Antaranya kehadiran sekolah-sekolah vernakular yang menyaksikan setiap bangsa menghantar anak-anak ke sekolah aliran bangsa masing-masing.

Akhirnya matlamat merapatkan hubungan melalui sistem sekolah tunggal, iaitu sekolah kebangsaan tidak dapat dicapai.

Namun kerajaan tetap berusaha dengan mewujudkan pula kosep Sekolah Wawasan. Sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan digabungkan dalam satu kawasan.

Menurut konsep ini, sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dan murid-murid boleh memilih ke sekolah mana untuk pergi. Mereka sekadar berkongsi kawasan dan kemudahan.

Ini pun mendapat tentangan. Pihak tertentu yang tidak suka konsep ini telah membantutkan usaha murni kerajaan.

Barangkali pada masa depan dalam isu kepentingan negara dan dalam usaha memupuk perpaduan, kerajaan tidak harus lagi melayan tentangan-tentangan daripada kumpulan atau kaum berkepentingan.

Oleh itu dalam keghairahan cerdik pandai menggunakan alasan ‘rasa tersisih’ atau ‘rasa berbeza’ untuk mewajarkan pelajaran agama diajar di luar waktu sekolah, lihatlah pada senario yang lebih besar ini.

Sepatutnya mereka memberi keutamaan membantu menyelesaikan isu sedemikian serta pelbagai isu lain yang mendesak dalam sistem pendidikan negara.

Usah ditumpukan sangat pada hal-hal kecil yang tidak seharusnya pun jadi isu. Janganlah jadi burung tekukur yang sentiasa mengangguk kepala apabila tuannya memetik jari.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here