Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat 12,468, PPS Bachok dan Jeli ditutup

0
180
MANGSA banjir menggunakan sampan untuk berulang alik dari Kampung Bukit Payung ke Kampung Keruak selepas jalan yang menghubungkan kedua-dua kampung terputus ekoran banjir hari ini. -- fotoBERNAMA

KOTA BHARU — Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 12,468  orang melibatkan 4,341 keluarga sehingga pukul satu tengah hari ini berbanding 10,207 (3,480 keluarga) pagi tadi.

Berdasarkan aplikasi InfoBencanaJKM jumlah mangsa banjir paling ramai dicatatkan bagi Pasir Mas iaitu 8,408 (3,232 keluarga) yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti Kuala Krai 958 mangsa (231 keluarga) di 12 PPS manakala Tumpat meningkat kepada 909 mangsa (281 keluarga) membabitkan tiga PPS berbanding 619 mangsa (190 keluarga) pagi tadi.

Pasir Puteh mencatat 826 mangsa (219 keluarga) di lapan PPS sementara Kota Bharu seramai 734 mangsa (204 keluarga) di lima PPS.

Seramai 481 mangsa (131 keluarga) di sembilan PPS Tanah Merah dan 152 mangsa (43 keluarga) di empat PPS Machang.

PPS di Bachok dan Jeli telah ditutup dan semua mangsa banjir bagi dua jajahan itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

MANGSA banjir Norizah Mat Yusof, 45, memberi minuman kepada suaminya yang mengidap strok Zulkifli Ya, 62, dari Jalan Bunga Raya Rantau Panjang ketika tinjauan fotoBernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi Rantau Panjang hari ini. Seramai 463 keluarga melibatkan 809 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi Rantau Panjang. — fotoBERNAMA

Dalam pada itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang susut kepada 10.57 meter berbanding 10.60 meter pagi tadi melepasi paras bahaya 9 meter.

Bagaimanapun Sungai Golok di Kuala Jambu yang melepasi paras bahaya meningkat kepada 3.29 meter berbanding 3.28 meter pagi tadi.

Dua sungai melepasi paras amaran ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai 22.58 meter (amaran 22.5 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard 15.11 meter (amaran 14 meter).

Paras air di kebanyakan sungai utama di Kelantan sedang menunjukkan trend menurun berikutan cuaca yang baik sejak pagi tadi.

Antara jalan yang ditutup untuk semua kenderaan termasuk Jalan Sirat, Jalan Bukit Sireh dan Kuala Nal di Kuala Krai, Jalan Machang-Pangkal Melerer-Wakaf Bata di Machang dan Jalan Pengkalan Rakit, Jalan Bunga Raya dan Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang di Pasir Mas.

— BERNAMA  
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here