IPOH — Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pekerjaan pada masa hadapan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran interaksi sosial, ekspresi yang artistik, sikap kolaborasi, empati dan kepintaran.

Justeru, titah baginda, keupayaan mengenal pasti jenis pekerjaan baharu yang bakal wujud adalah maklumat yang sangat penting, pemahaman bentuk dan tahap kemahiran diperlukan adalah kritikal dan keupayaan merangka dan menyediakan latihan yang relevan adalah satu kemestian.

“Pekerjaan-pekerjaan baharu memerlukan kemahiran baharu, dan kemahiran baharu memerlukan kaedah pendidikan dan corak latihan yang baharu,” titah baginda ketika melancarkan program Kemahiran Malaysia 2.0 (SKILL MALAYSIA 2.0) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Sultan Nazrin bertitah, pekerjaan teknikal jenis baharu pula menekankan kepada kemahiran secara khusus iaitu bukan lagi ijazah akademik bersifat umum kerana kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini lebih bergantung kepada kemahiran dimiliki.

Justeru, titah baginda, pendekatan dan kaedah latihan di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu direkayasa dengan memperkenal amalan terbaik dalam pengurusan, penggubalan dan reka bentuk program serta penyampaian latihan.

Baginda bertitah, ia bagi memastikan latihan itu bertenaga dan dinamik dalam menghadapi cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global dan perubahan iklim dunia.

Titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan untuk meningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah, berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan pengeluaran.

Baginda bertitah, kaedah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menjadi asas kepada pembangunan kurikulum latihan, juga perlu dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi digital.

“Majikan pada era Revolusi Industri Keempat memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran holistik, merangkumi kecerdikan emosi, pemikiran analitis, bersifat aktif dan bijak membuat keputusan, berupaya berfikir secara kreatif lagi kritis serta memiliki daya berkomunikasi secara berkesan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, program TVET hendaklah memastikan pelatih turut dilengkapkan dengan aspek kemahiran insaniah, merangkumi aspek kemahiran generik membabitkan elemen kognitif, yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Titah baginda, kemahiran insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi.

“Aspek etika dan moral wajib dijadikan komponen penting, agar teknokrat dan pekerja mahir yang dihasilkan berpegang kepada prinsip-prinsip amanah, integriti dan kejujuran, serta memusuhi perbuatan rasuah, tidak bersifat pecah amanah serta tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa,” titah baginda.

23) 3.12.19-SNMS-SKILLSMALASYSIA 2.0-PELANCARAN (FINAL)-EDARAN
-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here