KOTA KINABALU — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mula menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun bermula Julai 2021.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan suruhanjaya itu merujuk kepada undang-undang baru yang diluluskan untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

“SPR sekarang sedang menyediakan pindaan kepada Pendaftaran Pemilih 2002 dan undang-undang lain berkaitan sistem Prosedur Operasi Standard (SOP) serta infrastruktur untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Kami menjangkakan semua perkara ini akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus dengan Parti-parti Politik Negeri Sabah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Azhar berkata, SPR juga kini giat menjalankan urusan mengemas kini daerah mengundi bagi menghadapi keperluan pengundi yang dijangka meningkat menjadi 22.7 juta pengundi.

Katanya, usaha itu termasuk menyelaras semua keperluan pusat mengundi tambahan dan mewujudkan pusat mengundi alternatif di kawasan yang sesuai.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Azhar menyatakan SPR belum menerima apa-apa pemberitahuan daripada Mahkamah Persekutuan atas keputusan semalam yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya untuk menolak kemenangan Datuk Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan tarikh penting bagi pilihan raya kecil itu.

“Kami akan mengadakan pertemuan antara empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari daripada tarikh SPR menerima pemberitahuan mahkamah mengenai keputusan itu,” katanya sambil menambah mahkamah mempunyai 14 hari untuk memberitahu SPR mengenai keputusan berkenaan.

Azhar menambah, beliau juga berharap PRK ke-10 diadakan selepas PRU-14 itu akan berjalan lancar seperti PRK Sandakan.

Mengenai sesi libat urus itu, beliau menjelaskan, ia untuk berkongsi dasar SPR kepada 28 wakil dari 14 parti politik dan 32 wakil NGO.

Antara isu lain dibincangkan termasuk taraf kewarganegaraan yang meragukan dalam kalangan pengundi.

Azhar berkata, SPR sudah mengeluarkan 16,000 daripada senarai mereka sebelum PRU-14 serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan setakat ini, tiada kemas kini berkaitan kewarganegaraan meragukan.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here