Siti Nordiana yakin dengan Khai Bahar

0
907
SITI Nordiana dan Khai Bahar ketika di set drama Satukan Rasa.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

GANDINGAN Siti Nordiana dengan Khai Bahar dalam Satukan Rasa bermula daripada perbualan biasa dan akhirnya mereka disatukan dalam drama arahan Hadith Omar.

Menurut Siti Nordiana atau Nana, ada rakan yang mencadangkan supaya beliau berlakon bersama Khai selepas mereka berduet dalam lagu Satukan Rasa.

“Sebenarnya drama 20 episod ini terjadi selepas perbincangan kawan-kawan. Ada kawan kata kenapa tak berlakon sama selepas berduet. Bagi memenuhi permintaan tersebut, Nana pun melakukan proses memujuk Khai untuk berlakon drama ini.

“Dari awal-awal lagi Nana memang yakin Khai boleh berlakon walaupun banyak kali dia cakap takut nak berlakon. Nana tahu dia boleh buat walaupun ada yang persoal, bolehkah dia berlakon?

“Nana yakin dengan Khai sebab tengok dia berlakon dalam muzik video. Ternyata bila di set, sehari dua biasalah kekok. Lepas tu dia terus bagus. Pengarah pun puji Khai sebab dia cepat belajar,” cerita Nana tentang pasangan lakonnya.

MELAKONKAN watak Indah Suhaila bersama ibu mentua, Raja Azmi.

Beliau yang melakonkan watak Indah Suhaila berkata, watak yang dipegang kali ini berbeza dengan  karakter ibu tunggal yang dilakonkannya dalam telefilem Cekelat Semanis Honey.

Dalam Cekelat Semanis Honey, arahan Eyra Rahman, Nana membawa watak Maya, ibu tunggal yang ada pelbagai masalah. Sementara watak Indah pula seorang yang bersikap positif selepas kematian suami.

“Jalan cerita Satukan Rasa ada kena mengena dengan diri sendiri, terutamanya sewaktu babak bercakap dengan arwah suami. Senario itu Nana telah lalui, jadi senanglah nak lakonkan adegan itu.

“Selain itu watak Indah yang suka membuat orang lain ceria, samalah dengan Nana yang suka menggembirakan orang sekeliling. Watak Indah ini nampak mudah tapi susah sebenarnya sebab dia banyak memendam perasaan,” jelasnya.

Tambah Nana, beliau juga tidak sangka drama 20 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Katanya, beliau jarang meletakkan harapan yang tinggi dalam setiap drama lakonannya. Baginya kalau lakonannya memuaskan hati penonton sudah memadai.

“Nana tak meletak harapan tinggi, bila trending kat Twitter, rasa seronok. Drama Nana sebelum ini bukan setiap hari trending berbanding drama ini. Rasa dahsyat juga lah.

“Drama ini menjadi trending mungkin kerana peminat Nana dan Khai bergabung menyokong lakonan kami. Selalunya, selepas penggambaran Nana dan Khai serta pelakon lain akan sama-sama tweet dan melayan peminat di laman sosial.” katanya.

Memandangkan kerjasamanya dengan Khai, baik dalam lagu atau lakonan mendapat ‘restu’ peminat, Nana tdak kisah jika mereka disatukan lagi.

Katanya, kalau mengikut maklum balas dalam media sosial, ramai yang berpendapat Khai sesuai berduet dengannya selepas arwah Achik.

Mengenai gosipnya dengan Khai, Nana tidak mudah melatah kerana beliau sedar, selagi hatinya belum dimiliki kisah sebegitu akan terus diperkatakan.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here