Vincent Tan, Lim Wee Chai, dua ikon korporat Malaysia hulur sumbangan bagi pelarian Syria

0
278
Gambar atas: Pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan (tengah) dan beberapa sukarelawan selepas menyerahkan bantuan beg sekolah kepada kanak-kanak pelarian Syria di sebuah sekolah semalam. Turut hadir, pengasas Top Glove Corporation Berhad Tan Sri Lim Wee Chai. Vincant dan lain-lain dalam misi tiga hari bersama 25 sukarelawan untuk membantu pelarian Syria. Sukarelawan termasuk dari Yayasan Tzu Chi, sebuah organisasi bantuan kemanusiaan berpangkalan di Taiwan / Foto Bernama

 

 

ISTANBUL —  Dua tokoh korporat terkemuka Malaysia telah tampil menghulurkan sumbangan untuk mangsa pelarian Syria di sini, yang menjadikan Turki sebagai kediaman mereka sejak enam tahun lepas.

Pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan serta pengasas Top Glove Corporation Berhad Tan Sri Lim Wee Chai berada di sini bersama-sama 25 sukarelawan sempena misi tiga hari untuk mengagihkan bantuan kepada pelarian.

Terdapat empat juta pelarian Syria di Turki dengan Istanbul sahaja menempatkan 700,000 pelarian.

Tan dan Lim juga merupakan sukarelawan bertauliah Yayasan Tzu Chi, organisasi bantuan kemanusiaan yang berpangkalan di Taiwan, telah bertapak di 57 negara termasuk di Malaysia dan menghulurkan bantuan kepada hampir 100 negara sejak ia diwujudkan 52 tahun lalu.

Pada Jumaat, sukarelawan Malaysia itu mengunjungi sebuah klinik dan kemudian melawat sekolah bagi kanak-kanak pelarian yang dikendalikan Tzu Chi di daerah Sultan Gazi.

Di Malaysia, Tzu Chi mempunyai 1.7 juta ahli dan 20,000 sukarelawan.

Foto: Bernama

Nilai teras Tzu Chi adalah kasih sayang serta belas kasihan dan anggota organisasi itu perlu menjalani latihan dua tahun untuk memenuhi syarat sebagai sukarelawan.

Operasinya di Turki dikendalikan tiga rakyat Taiwan, termasuk pasangan suami isteri, Faisal Hu dan Nadia Chou, kedua-duanya memeluk agama Islam dan dibantu lebih 300 sukarelawan warga Syria.

Dalam taklimatnya kepada pasukan Malaysia yang melawat klinik berkenaan, Faisal berkata pusat rawatan yang lengkap itu telah merawat 270,000 pesakit sejak ia beroperasi pada Julai 2016, purata antara 9,000 dan 12,000 orang setiap bulan.

Mempunyai 13 doktor, ia menyediakan perkhidmatan perubatan bagi keluarga dan individu, perubatan dalaman, pediatrik, ginekologi, opthalmologi, ortopedik dan pergigian.

Lawatan seterusnya di Sekolah Antarabangsa El Menahil, menyaksikan ketibaan delegasi Malaysia ini disambut mesra oleh guru dan 2,000 pelajar yang menuntut di kelas asas, rendah dan menengah.

Faisal, yang menetap di Turki selama 23 tahun berkata sekolah itu bermula dengan pengambilan 500 pelajar dan model pendidikannya kini diterima pakai oleh Kementerian Pendidikan Turki dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk sekolah lain yang dapat memberi manfaat kepada 350,000 pelarian kanak-kanak Syria di bahagian lain negara itu.

Tan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan untuk sekolah itu, manakala Lim menyerahkan kotak sarung tangan getah bagi kegunaan di klinik tersebut. Top Glove Corporation merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia dan beliau merupakan Pengerusi Eksekutifnya.

Dalam kunjungan itu, para sukarelawan turut dihiburkan dengan persembahan tarian oleh kanak-kanak pelarian berusia enam tahun sambil mengucapkan: “Shukran Malaysia” (Terima kasih, Malaysia).

Tan dilihat memberitahu pelajar, guru dan sukarelawan: “Saya sangat berbangga dengan anda semua, apa yang anda telah lakukan dan saya mengagumi anda semua”.

Saat memilukan ketika sesi bersama delegasi Malaysia, apabila pelarian meluahkan harapan bagi masa depan negara kelahiran mereka.

Najwa Muhammad Khalf, remaja perempuan berusia 16 tahun, yang kehilangan kedua-dua kakinya dalam pengeboman di bandar Allepo berkata kesemua 11 anggota keluarganya terbunuh, manakala beliau diselamatkan oleh saudara maranya, menyeberang sempadan Turki yang terletak sejauh 1,200km.

Beliau kini menggunakan kaki palsu.

Apabila ditanya wartawan apakah mesej yang ingin disampaikan kepada puak-puak yang bertelagah di Syria, dia secara spontan berkata: “Hentikan peperangan”.

Ahmed Jned, 21, berkata semua pelarian Syria ingin pulang ke tanah air mereka.

Apabila ditanya apakah yang berlegar dalam fikirannya terhadap puak-puak yang menyebabkan peperangan berlarutan itu, dia dengan berani berkata: “Mereka tidak mempunyai fikiran. Semua rakyat Syria mahu masa depan baharu dan kami mahu pulang”.

Taleb Aljadaan, 44, merupakan guru di sekolah itu yang menghuni di sini sejak lima tahun lalu, berkata apa yang dimahukan oleh beliau dan semua rakan pelariannya adalah penyelesaian bagi konflik Syria.

Apabila ditanya berapa lamakah keamanan akan kembali pulih di Syria, dia berkata: “Saya percaya dalam tempoh tiga tahun, kami boleh pulang”.

Delegasi Malaysia dijangka mengunjungi pusat bantuan lain hari ini untuk mengagihkan lebih banyak sumbangan.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here