Wings buat latihan demi kualiti

0
348

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TAK kira persembahan yang dijayakan itu besar atau kecil, anggota kumpulan Wings tetap mengadakan latihan sebelum melangkah ke pentas.

Pemain bes Wings, Eddie, 50, memberitahu mereka tidak pernah ‘mengabaikan’ latihan biarpun sudah 33 tahun dalam bidang seni.

Jelas Eddie, sepopular mana pun sesebuah kumpulan muzik atau sering mengadakan persembahan, latihan perlu diutamakan bagi menjaga kualiti.

“Mungkin ada yang ingat kami yang sudah otai dalam bidang seni ini tidak perlu buat persiapan (latihan) sebab sudah pro.

“Tanggapan tu salah sebab kami pun manusia biasa dan bukan sempurna, sebab itulah perlu buat latihan. Tambah-tambah Wings yang orang pandang sebagai sebuah kumpulan muzik ikon, sudah tentu kami perlu jaga reputasi itu,” katanya yang sedang menjalani latihan dengan anggota Wings di Avia Musicom Studio, Ampang semalam (28 Disember 2018).

Tambah Eddie, untuk persembahan Konsert Ambang 2019 di Dataran Perbandaran Nilai, Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 31 Disember ini, Wings mula berlatih sejak dua minggu lalu.

“Latihan kami bermula sebelum Datuk Awie masuk hospital lagi. Malah sewaktu Datuk sihat, dia tidak pernah gagal untuk menghadirkan diri menjalani latihan.

“Kami akan menjalani latihan tiga jam sehari selama dua minggu ini sebelum konsert berlangsung. Bagi kami konsert ini penting biarpun ada penyanyi lain seperti Datuk Hattan dan Syamel yang turut serta memeriahkan konsert sambutan Tahun Baharu itu,” jelas Eddie.

Tambah Eddie, selain anggota Wings iaitu Black (dram), Edrie Hashim dan Syam yang merupakan pemain gitar utama kumpulan tersebut, sesi latihan mereka turut disertai dua penyanyi latar iaitu Oney, bekas vokalis Lipanbara serta Billa Najmi, bintang Akademi Fantasia 2015.

Disebabkan ada penyanyi latar, anggota Wings tidak ada masalah meneruskan latihan sewaktu Awie menjalani rawatan di hospital baru-baru ini.

Billa Najmi adalah anak Eddie dan Oney yang berpengalaman dalam bidang seni suara itu sudah lama menjadi penyanyi latar untuk setiap persembahan Wings.

Kata Eddie, anggota Wings kagum dengan semangat yang dimiliki vokalis utama mereka kerana sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital pada 27 Disember lalu, Awie terus datang menyertai latihan.

“Sebetulnya kami terkejut melihat kemunculannya di studio. Ingatkan dia terus balik rumah tapi singgah di studio untuk latihan.

“Sewaktu latihan itu vokal Awie tetap mantap dan kami tahu dia mahu bersama-sama kami menjalani latihan setiap hari sebelum hari persembahan. Memandangkan keadaan dirinya, kami nasihatkan dia berehat saja dan muncul waktu persembahan nanti,” cerita Eddie tentang sahabat baiknya itu.

Dapat dilihat betapa komitednya anggota Wings terhadap kerjaya mereka. Jadi tidak hairanlah apabila Eddie memberitahu yang Black sanggup berulang-alik ke Ampang dari Bachang, Melaka bagi menjayakan sesi latihan.

Untuk persembahan di Nilai nanti, Wings akan mendendangkan kira-kira 10 buah lagu termasuklah Opera Hidup, Bujang Senang, Breaking The Law, Ingatkan Dia, Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru dan Sejati.

– BEBASnews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here