Nissa atau Khoirunnisa

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ORANGNYA kecil molek tapi suaranya, masya-Allah sungguh memukau. Itulah kelebihan yang dimiliki vokalis utama kumpulan Sabyan Gambus yang berasal dari Indonesia itu.

Sepanjang persembahan Konsert Sabyan Live in Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada Sabtu (12 Januari) lalu, Nissa atau Khoirunnisa, 19, dilihat begitu energetik.

Meskipun Sabyan Gambus dikenali sebagai kumpulan yang mendendangkan lagu-lagu berunsur Islamik, namun menonton persembahan mereka tidak membosankan.

Kebosanan tidak singgah di hati kira-kira 3,000 penonton itu disebabkan persembahan Nissa diiringi anggota Sabyan Gambus yang bermain alat muzik.

Menonton persembahan Sabyan Gambus sama seperti melihat kumpulan muzik lain beraksi, cuma lagu-lagu yang disampaikan lebih kepada santapan jiwa kerana bait-bait katanya berunsur nasihat.

Selain mendengar kemerduan vokal Nissa mendendangkan kira-kira 13 buah lagu popular mereka, konsert tersebut menjadi menarik kerana setiap anggota Sabyan Gambus memainkan peranan mereka dengan begitu baik sekali.

Khoirunnisa (kanan) dan Anisa Rahman.

Anggota Sabyan terdiri daripada Ahmad Fairuz atau Ayus (keyboard), Sofwan Yusuf atau Wawan (perkusi), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh atau Tebe (biola) dan Anisa Rahman (penyanyi latar).

Sabyan Gambus yang pertama kali mengadakan persembahan di Malaysia memulakan acara dengan lagu Nassim dan diikuti dengan lagu Ahmad Ya Habibi.

Tatkala muzik untuk lagu ketiga, Ya Asyiqol Musthofa yang dimedleykan dengan lagu Ya Habibal Qolbi dimainkan penonton yang tadi diam membisu turut menyanyi bersama Nissa.

 

Pada konsert anjuran MHH Laguna Sdn. Bhd. itu, Sabyan Gamvus turut mendendangkan lagu El Oum yang merupakan single ketiga mereka yang dilancarkan Disember lalu.

Kumpulan yang dikenali kerana lagu Deen As Salam dendangan asal oleh Suleman Al Mughny itu ternyata telah jatuh hati dengan sokongan daripada peminat tempatan.

Sebaik saja irama lagu yang ditunggu-tunggu itu dimainkan, penonton kembali menjadi ‘penyanyi latar’ kepada persembahan Nissa kerana lagu Deen As Salam dendangan Sabyan Gambus membuatkan nama kumpulan itu popular dalam kalangan peminat Malaysia.

Jelas Nissa, nama Malaysia akan sentiasa diingati kerana memberi peluang kepada mereka mengadakan konsert pertama di luar Indonesia.

Malah kata Nissa, jika ada peluang mereka mahu datang ke Malaysia lagi untuk menghibur para peminat di sini.

Tidak mustahil jika ada penganjur lain yang bersedia untuk mengadakan konsert jelajah Malaysia untuk kumpulan ini.

Biarpun kebanyakan lagu yang dirakam oleh Sabyan Gambus adalah dendangan semula tetapi lagu nyanyian mereka boleh dikatakan lebih sedap didengar daripada nyanyian asal seperti Atuna Tufuli.

Mungkin ada yang berpendapat Sabyan Gambus mencipta nama kerana ‘tumpang populariti’ penyanyi asal.

Ya benar, mereka menyanyikan lagu sedia ada tetapi dendangan semula mereka tidak pernah mengecewakan pendengar. Contohnya lagu Law Kana Bainana dendangan Anisa amat menyentuh perasaan.

Kumpulan yang berasal dari Jakarta itu mengakhiri persembahan mereka dengan lagu Salam Alaikum Harris J. Sebelum itu Sabyan Gambus turut mendendangkan lagu Ya Maulana, Allahhuma Labbaik dan Kun Anta.

Heliza Hemi dan adik, Hazwani pada Konsert Sabyan Live in Malaysia 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 12 Januari 2019.
Kumpulan UNIC turut menggegarkan Konsert Sabyan Live in Malaysia 2019.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Heliza Hemi dan adik, Hazwani dengan lagu Jom Selawat sebagai pembuka tirai.

Selain itu kumpulan UNIC, juara Gema Gegar Vaganza musim pertama turut tampil mendendangan lagu-lagu Sedar, Hanya Tuhan Yang Tahu, Zinnirah dan Ainul Mardiah.

— BebasNews

Leave a Reply