
(GAMBAR ATAS) Adegan dari drama Seindah Sakura yang diterbitkan oleh Temenggong Pictures Sdn. Bhd, yang mana Black wings pernah menjadi Penerbit Penyelaras syarikat berkenaan.
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
SEBELUM mengusahakan perniagaan francais Gloria Jeans Coffees, di Hospital Pakar Putra, Melaka sekarang, Black pernah menceburi bidang penerbitan selain karier hakikinya sebagai pemain dram Wings.
Temenggong Pictures Sdn. Bhd., sebuah ‘production house’ yang begitu aktif menerbitkan drama untuk stesyen TV menjadi pilihan Black Wings @ Azmi Hashim untuk melebarkan sayapnya dalam bidang seni berlainan cabang.

“Bersandarkan minat dan mempunyai modal, saya dilantik sebagai Penerbit Penyelaras dengan syarikat berkenaan,” jelas Black yang bersama syarikat berkenaan pada tahun 2000.
Sebagai Penerbit Penyelaras, setiap drama dalam proses pembikinan (shooting) menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan ia berjalan lancar dan paling penting bajet tidak ‘burst’ (melebihi peruntukan).
“Sepuluh tahun saya bersama Temenggong Pictures dan memang seronok apabila kita menceburi bidang seni berlainan cabang dan berjumpa orang seni yang bukan penyanyi atau pemuzik.
“Tetapi sayangnya kerana ‘masalah dalaman disebabkan oleh seseorang’ saya angkat kaki kerana tidak mahu menanggung beban dan membawa haluan sendiri,” cerita Black yang mana beliau mendapat semula modal dan ‘percentage’ yang telah dijanjikan.

Black yang menjadi ‘ahli keluarga’ Temenggong Pictures yang berpejabat di Taman Dagang, Kuala Lumpur itu memberitahu, lebih 100 drama telah diterbitkan ‘production house’ berkenaan.
Setelah meninggalkan syarikat berkenaan, Black menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Wings dan perniagaan francais Gloria Jean’s Coffees di Melaka.
— BebasNews

Muzlina Abu Bakar bekerja selama 35 tahun dengan syarikat Utusan Melayu. Daripada 35 tahun itu, 32 tahun membuat liputan dalam bidang hiburan sebagai Wartawan Hiburan, Penolong Pengarang URTV, Penolong Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia. Muzlina bersara wajib pada 29 Mac 2013.