SPR hanya wujud apabila Yang di-Pertuan Agong melantik tujuh orang pemegang jawatannya seperti yang dinyatakan dalam Perkara 114 (1) Perlembagaan
Oleh GAMAL NASIR MOHD ALI
[email protected]
MUNGKINKAN pilihan raya kecil (PRK) yang telah diadakan di Port Dickson dan yang dijalankan di Cameron Highlands tidak sah dan terbatal kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sahih, mengikut perlembagaan sebenarnya tidak wujud?
Seorang peguam bela dan peguam cara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berpendapat, SPR yang ada sekarang hanyalah SPR “hantu” atau tidak wujud, sama seperti istilah pengundi “hantu” bagi merujuk pengundi yang tidak wujud.
“SPR hanya wujud apabila Yang di-Pertuan Agong melantik tujuh orang pemegang jawatannya seperti yang dinyatakan dalam Perkara 114 (1) Perlembagaan.
“Setakat ini, Agong hanya melantik Pengerusi SPR dan enam orang ahli SPR yang lain belum dilantik. Ini bermaksud SPR masih belum wujud mengikut perkara 114 (1) Perlembagaan,” tegasnya dalam posting terbaharu beliau dalam akaun Facebook @Buzze Azam hari ini (25 Januari).
Ketika kerajaan Pakatan Harapan berdepan dengan pelbagai kemelut serta kontroversi pentadbiran negara sejak memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu, kemunculan senario terbaharu politik ini tentunya menambah beban permasalahan tersebut.
Tuduhan mengenai SPR “hantu” itu tercetus sehari selepas kenyataan Media Peguam Negara pada 24 Januari berkaitan penubuhan tribunal yang terdiri daripada lima orang bekas hakim mahkamah persekutuan untuk menyiasat dan memecat enam anggota SPR, yang telahpun meletakkan jawatan.
Menurut Mohd Khairul Azam, Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa:
“Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.
“Ini bermaksud SPR itu hanya wujud apabila YDPA telah melantik tujuh orang pemegang jawatannya seperti yang dinyatakan dalam Perkara 114 (1) Perlembagaan.”
Katanya, SPR “hantu” yang dianggotai hanya satu orang ini telah mengendalikan dua PRK setakat ini dan disebabkan SPR “sah” masih belum wujud, maka SPR “hantu” tidak boleh berfungsi sebagai SPR “sah”.
Justeru, jelas beliau, keputusan PRK Port Dickson dan pengendalian PRK Cameron Highlands yg dibuat sekarang adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak dikendalikan oleh SPR yang sah.
“Mengikut rule of law, SPR masih belum wujud. Bagaimana sesuatu yg belum wujud, boleh mengendalikan PRK?
“Pengerusi SPR bermesyuarat seorang diri dan membuat keputusan SPR secara seorang diri selama ini,” tegas Mohd Khairul Azam.
Berhubung tribunal yang ditubuhkan oleh Peguam Negara untuk menyiasat lima anggota SPR yang telah meletakkan jawatan pada Oktober dan satu pada November tahun lalu, beliau berpendapat, rule of law tidak membenarkan pemecatan terhadap seseorang yang telahpun meletakkan jawatan.
“Oleh itu, tribunal lima bekas hakim ini tiada locus standi untuk mendengar kes seperti ini.
“Peletakan jawatan enam orang ahli SPR berkenaan adalah sah mengikut Perkara 114 (3) Perlembagaan yang membenarkan mereka meletakkan jawatan pada bila-bila masa,” jelasnya.
— BebasNews

GAMAL NASIR MOHD ALI bersama akhbar Utusan Malaysia selama hampir 30 tahun sebelum melepaskan tugas pada 30 November 2018. Menjawat jawatan seperti Ketua Meja Rencana, Pengarang Kanan The Leader, Pengarang Luar Negara, Pengarang Online, Pengarang Prosesan, Pengarang Kanan Prosesan, Pengarang Kanan Perkhidmatan Online dan Pengarang Kanan Mega Utusan Malaysia.
Pendapat peguam ini tidak tepat. Ini pendapat berbau politik. Agong telah melantik Pengerusi SPR. SPR boleh terus befungsi dengan lantikan ini. Tidak ada klausa yang mengatakan SPR tidak boleh berfungsi dengan hanya pengerusi sahaja dilantik. Seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain boleh dilantik kemudian. Pengerusi sudah cukup untuk menjalan peranan SPR. Masih sah di sisi perlembagaan.
Perdana menteri boleh berfungsi tanpa anggota kabinet yang dilantik. Sebab PM dilantik setelah diperkenan YPA. Setelah dilantik, PM boleh terus menjalankan peranan beliau dengan sah walaupun belum lagi dilantik anggota kabinet.
Perlantikan pengerusi sahaja dalam kes SPR, sudah sah bagi badan ini menjalankan tugas-tugas yang dipertanggung jawapkan,
Lebih pencerahan perlu segera