Syukurlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri memberi mesej jelas kepada menteri. Pedulikan sama ada itu hanya gimik atau sebaliknya. Mungkin ia juga dilihat satu sindiran?

 

Oleh HASSAN MOHD NOOR

 
SAMA ada dianggap dokumentari pendek, gimik, lakonan atau drama pentas, apa yang penting mesej yang sebenarnya umum sudah tahu, kini ada dalam pengetahuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub. Tidak tahu apa nak dikata jika mesej itu belum dapat difahami. Diharapkan menteri dari Amanah itu dapat menyelami masalah sebenar golongan petani, penternak dan nelayan tanpa perlu turun ke bawah. Syukurlah pada zaman teknologi maklumat yang serba canggih ini, surat masih memainkan peranan penting. Surat boleh menyampaikan hasrat kepada sasaran berbanding sekadar bercakap dan mengeluh melalui media elektronik atau cetak.

Lihat sahaja respons yang diberi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof mengutuskan warkah terbuka kepada bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Melalui warkah itu Mujahid yang juga wakil rayat dari Amanah membahasakan dirinya sebagai kekanda dan merujuk Nurul Izzah sebagai adinda. Begitulah kreatifnya menteri. Pedulikan tanggapan ramai sama ada melihat mereka sebagai bersandiwara. Itu cara mereka yang mungkin tidak sama dengan menteri Barisan Nasional (BN). Sekarang ini di radio pun sering terdengar suara menteri-menteri Kabinet bercakap memberi pelbagai nasihat mengikut kementerian masing-masing. Mungkin stesen radio boleh mengatur menteri mana paling popular.

Kembali kepada warkah petani, Ibas Hamud. Perlukah petani mengirim warkah kepada menteri? Masalah yang dikemukakan bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau baru terjadi. Golongan ini sudah lama menangis dan merintih. Hidup mereka pasang surut. Sebenarnya tidak perlu mengutus warkah sedemikian kecuali jika masalah yang dihadapi di luar pengetahuan menteri. Masalah itu sudah diketahui umum. Bertambah sakit apabila kos sara hidup meningkat termasuk di luar bandar. Hakikatnya, masalah golongan ini bukanlah seperti mencari benda tersembunyi. Jika sering turun padang, rajin ambil tahu keluh kesah mereka, maka dapat dirasai masalah yang ditanggung.

Seperti kata Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri “KITA MESTI FAHAM, MESTI MERASAI DENYUTAN NADI RAKYAT” Kenyataan ini masih boleh dibaca sehingga ke hari ini. Kita boleh lihat ayat itu di karavan tani, kenderaan yang sering berurusan di pasar tani atau pasar malam yang terlibat menjual hasil pertanian. Tidak pasti selama mana kenyataan ini mampu bertahan di kenderaan berkenaan kerana dibimbangi akan ditukar disebabkan melibatkan nama Najib. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada papan tanda atau sebarang logo 1Malaysia. Hentikanlah sandiwara politik untuk mencari populariti. Cukuplah orang kita dibuai ‘lakonan’ atau ‘aksi’ seumpama ini. Bekerjalah. Orang lain sudah ke hadapan, kita masih berkias-kias atas sesuatu yang realiti. Selesaikan masalah yang sebenarnya sudah ada di depan mata.

Golongan petani, nelayan dan penternak ini bukanlah malas tetapi kadang-kadang mereka menjadi mangsa keadaan. Eloklah kementerian meneruskan apa yang sudah dilakukan sebelum ini jika tidak ada cadangan lain yang lebih baik. Jika ada cadangan pun, berilah idea yang dapat diterima logik akal. Jangan ikut sedap mulut. Walaupun kebanyakan golongan ini tidak mempunyai sijil atau ijazah, tetapi kadang-kadang mereka lebih bijak memikirkan apa yang boleh dibuat atau tidak. Contohnya, berapa ramai yang mampu tanam nanas, rambutan atau Musang King untuk menambah pendapatan?

Ingatlah, menteri Kabinet sekarang bukan lagi bertindak sebagai pembangkang. Jangan terbawa-bawa budaya pandai bercakap tetapi tidak tahu menyelesaikan masalah apabila kuasa sudah pada tangan. Keputusan yang dibuat biarlah dapat merungkai masalah bukannya menambah beban atau menimbulkan kemarahan golongan sasaran. Tidak perlu buat keputusan seolah-olah menguji pasaran dan apabila menimbulkan reaksi tidak sihat, cepat-cepat melakukan pusingan U yang kemudian dianggap menteri prihatin. Dulu bercakap bulan dan bintang pun boleh digenggam tetapi hari ini baharu tahu langit tinggi rendah. Bukan senang mahu jadi pemimpin. Air liur sahaja tidak dapat mengubah kehidupan.

Syukurlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri memberi mesej jelas kepada menteri. Pedulikan sama ada itu hanya gimik atau sebaliknya. Mungkin ia juga dilihat satu sindiran? Tidak pasti dalam hal ini adakah peribahasa pukul anak sindir menantu boleh dipakai? Diharapkan menteri faham dan jelas mengenai kandungan surat itu. Surat itu bukan sekadar disimpan atau dibingkai untuk dipamerkan tetapi hadam betul-betul supaya masalah yang dihadapi menemui jalan keluar. Surat itu secara terbuka menyatakan rasa terkilan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hampir sembilan bulan mengambil alih kuasa daripada BN.


Surat itu antara lain menyebut: “Tapi bila YB jadi menteri, YB potong subsidi baja kami. YB tahu tak kami ini susah. YB sebagai menteri pertanian sepatutnya jaga kebajikan kami. Ini tidak, elaun sara hidup nelayan pun YB potong. Sudahlah mereka ini tertindas. Bersabung nyawa tengah laut, tapi terpaksa jual murah. Sedangkan dekat pasar harga ikan bukan main mahal. YB nampak tak semua ini? YB, itu baru cerita padi dan ikan. Untuk pengetahuan YB, petani lain pun ramai kecewa. Baik yang buat sawit, getah, semua gelisah harga jatuh. Yang buat cili, yang buat kambing semua pening hasil tak laku. Sebab cili Vietnam dan daging import terlampau murah. Kalau terus macam ini YB, baik YB tukar saja slogan “Pertanian suatu Perniagaan”. Tukar jadi “Kita import je hasil pertanian”.

Akhirnya menteri menangis sedangkan golongan diwakili Ibas ini sudah kekeringan air mata dan keringat.

Paling pedih sudah tentu kenyataan tukar sahaja slogan Pertanian Adalah Perniagaan. Hari ini pun slogan itu boleh diubah. Mereka ada kuasa. Memang mudah untuk tukar sesuatu sama seperti mudahnya menukar kerajaan, menukar dan menurunkan slogan 1Malaysia, memansuhkan apa sahaja yang difikirkan. Kenapa perlu memansuh atau menarik balik sesuatu yang pernah dinikmati golongan ini? Adakah terlalu buruk apa yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini? Dr. Mahathir dan Muhyiddin Yassin pernah bersama BN. Tukarlah jika yang digantikan itu lebih baik dan menguntungkan golongan sasaran. Apa yang penting penyelesaiannya dapat meringankan beban yang ada.

Beranikah slogan Pertanian Adalah Perniagaan ditukar? Selak kembali, siapa yang memperkenalkan slogan ini? Ya, slogan itu cetusan idea Muhyiddin yang suatu ketika dahulu memegang portfolio sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Slogan ini bertujuan untuk mengubah stigma masyarakat petani terdahulu yang hanya mengutamakan pengeluaran hasil pertanian bagi tujuan memenuhi keperluan hidup sahaja dan apabila terdapat lebihan hasil sahaja yang mereka akan mula menjualnya kepada orang ramai. Mungkin ada slogan lain yang lebih memberi motivasi. Jangan pula dilupa jihad memerangi orang tengah.

Apa pun selepas membaca warkah itu, Salahuddin bertekad untuk membela nasib golongan itu. Katanya: “Selagi nyawa dikandung badan dan saya diberikan amanah menerajui kementerian ini, saya akan membela nasib warga petani, nelayan dan penternak ini. Siapa yang bertanggungjawab mengukuhkan dan meningkatkan taraf hidup golongan sasar ini jika bukan kita yang diberi kuasa dan ilmu untuk melaksanakannya,”

Kali ini janji itu biar betul, tidak selesai di pentas itu sahaja. Pementasan tamat tetapi gerak kerja perlu dilakukan supaya warkah baharu tidak menyusul. Harapan golongan petani, nelayan dan penternak ini adalah janji itu ditunaikan, tidak seperti janji-janji kosong yang sering dilaungkan di atas pentas semasa mereka bergelar sebagai pembangkang.

Selepas ini warkah untuk siapa pula dan menteri mana bakal terlibat?

— BebasNews

1 COMMENT

Leave a Reply