GEORGETOWN: Chow Kon Yoew sedang mempertimbangkan tindakan bersesuaian yang boleh diambil ke atas pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan Ketua Menteri menerima rasuah dalam pelaksaan projek terowong dasar laut.

Kon Yeow berkata, ia termasuklah membuat laporan polis, memfailkan saman ke atas Raja Petra di mahkamah, menunggu kenyataan penafian daripada pengendali blog Malaysia Today atau sebarang tindakan dianggap wajar bagi menangkis dakwaan itu.

“Saya sedih apabila pertama kali dikaitkan dengan dakwaan sedemikian, sepanjang 32 tahun bergiat aktif dalam arena politik negara.

“Malah, Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sudah membuat kenyataan jelas mengenainya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah laporan polis berhubung dakwaan ini.

“Memandangkan sudah ada pihak yang tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan ini  dan siasatan juga dijangka dijalankan. Justeru, kita tunggu dulu hasil siasatan selepas ia siap sepenuhnya nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Raja Petra dalam siri artikel yang disiarkan di blognya mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan empat EXCO kerajaan negeri menerima rasuah bersabit projek terowong dasar laut itu.

Raja Petra mendakwa pendedahan itu diperoleh daripada kertas siasatan SPRM berhubung kes pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion berkenaan.

Kon Yeow menegaskan, pihaknya tidak pernah dipanggil SPRM untuk memberi atau menjalani sebarang proses rakaman percakapan berhubung projek terowong dasar laut, sejak siasatan mengenainya dibuat pada 2015.

“Saya juga tidak maklum perkembangan siasatan kes ini dan biarkan pihak berkuasa menyiapkannya. Setakat ini, kita tengok dulu perkembangan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, individu terbabit (Raja Petra) menetap di United Kingdom dan mungkin menyukarkan untuk mengambil sebarang tindakan ke atasnya. Kita mungkin perlu failkan saman di sana (United Kingdom),” katanya.

 

-Berita Harian

Leave a Reply