Isu yang diketengahkan untuk mendekati usahawan pada peringkat akar umbi ialah pemberian dana dan pinjaman sebagai modal perniagaan.

 
PEMANGKU Presiden Dewan Peniaga Melayu Malaysia (DPMM), Syed Hussein Alhabshee mahu usahawan Bumiputera diberi bantuan awal untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata, antara isu yang diketengahkan untuk mendekati usahawan pada peringkat akar umbi ialah pemberian dana dan pinjaman sebagai modal perniagaan.

“Usahawan bumiputera mengalami kesukaran untuk memulakan perniagaan jika tidak diberikan bantuan awal.

“Saya berpendapat jika tidak diberikan start-up grant (bantuan awal), mereka susah nak berniaga,” katanya pada sidang media di Kementerian Pembangunan Usahawan, Putrajaya hari ini (7 Mac).

Terdahulu, Syed Hussein Alhabshee memberi sokongan penuh kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof atas usaha menteri memperkasa usahawan bumiputera.

Katanya, DPMM berpendapat, hanya Redzuan yang boleh diharapkan untuk menjayakan usaha tersebut berdasarkan usaha-usaha yang ditonjolkan selama ini.

“Kami lihat tiada lagi menteri yang boleh diharapkan. Beliau saja yang mengambil langkah tepat dalam menjalankan resolusi tersebut,” tegas beliau.

Syed Hussein berkata, kurang seminggu selepas perasmian Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB), Redzuan telah turun padang di Sarawak dan 14 buah negeri lain.

KUB dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 September lalu bertujuan untuk meluaskan lagi rangkaian serta memantapkan ilmu keusahawanan.

— BebasNews

Leave a Reply