Mazlee nafi umum cuti sekolah bencana di Pasir Gudang perlu diganti

0
85
Foto: Bernama

 

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menafikan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa cuti untuk 111 sekolah di Pasir Gudang, Johor yang ditutup akibat pencemaran toksik Sungai Kim Kim perlu diganti.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan agar cuti akibat bencana sisa kimia di Pasir Gudang perlu diganti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam laporan bertajuk ‘Cuti bencana Sungai Kim Kim perlu diganti’ itu, Maszlee dilaporkan berkata penggantian cuti berkenaan perlu dilakukan bagi menghabiskan sukatan atau silibus pembelajaran pelajar yang terjejas.

Dalam kenyataan media sama hari ini, Maszlee menyertakan transkrip jawapan beliau dalam sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam, di Kampung Kolam Air semalam.

“Kita akan maklumkan kemudian melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mereka akan membuat pemakluman kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dan kepada sekolah-sekolah,” petiknya.

Katanya lagi, pemaklumkan berkenaan status cuti berkenaan perlu diganti atau tidak akan diputuskan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan PPD Pasir Gudang.

“Sehubungan itu, saya memohon pihak Berita Harian untuk lebih berhati-hati supaya ia tidak mengelirukan mereka yang terkesan dengan bencana ini,” katanya lagi.

Berdasarkan carian ketika berita ini ditulis, laporan berita yang disiarkan di portal Berita Harian pada 25 Mac jam 4.30 petang, sudah tidak dapat ditemui.

 

-Dipetik daripada https://www.malaysiakini.com/news/469593
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here