“Penjajaran semula yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan di selekoh tajam di simpang masuk ke Kampung Gelong Pepuyu-Kampung Paya Ara.”

 

IPOH — Jalan Negeri A127 iaitu Jalan Gelong Pepuyu- Beruas yang merentasi Lebuh raya Persisiran Pantai Barat (WCE) sudah dibuat penjajaran semula dan siap pembinaannya serta mula dibuka kepada lalul intas bermula Oktober 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata dengan adanya penjajaran semula laluan yang terbabit oleh konsesi WCE, jajaran asal Jalan Negeri A127 kini ditutup.

“Penjajaran semula yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan di selekoh tajam di simpang masuk ke Kampung Gelong Pepuyu-Kampung Paya Ara.

“Pembinaan jalan baru ini dibina mengikut amalan kejuruteraan terbaik dengan mematuhi keperluan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM),” katanya pada sesi soalan lisan menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Gambar atas: Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur,Pertanian dan Perladangan negeri Perak merangkap ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. NSTP/ABDULLAH YUSOF

Abdul Yunus berkata, dengan penjajaran semula laluan Jalan Negeri A127,tiada cadangan bagi membina sebarang laluan bawah di jajaran asal dan penduduk Kampung Gelong Pepuyu ke Kampung Kota boleh menggunakan jajaran baru yang telah dibina.

Katanya, walau bagaimanapun WCE sudah telah membina laluan bawah jenis Vehicular Box Culvert (VBC) bagi menghubungkan Kampung Gelung Pepuyu ke Kampung Kota di jajaran baru.

“Penjajaran semula Jalan Negeri A127 telah dilengkapi keperluan keselamatan meliputi perabot jalan seperti papan tanda keselamatan, ‘rumble strip’ dan lain-lain kelengkapan keselamatan.

“Buat masa ini, kami didapati reka bentuk pencahayaan di persimpangan jalan raya baru menuju ke Kampong Gelung Pepuyu tidak dimasukkan dalam skop asal pembinaan pihak WCE, walau bagaimanapun pihak JKR akan menyelaraskan pemasangan lampu jalan di persimpangan tersebut di dalam skop pembinaan dengan pihak WCE,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelebaran jalan sedia ada dari Kampung Gelong Pepuyu ke Kampung Kota, laluan itu adalah di bawah bidang kuasa bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, justeru rancangan mencadangkan pelebaran jalan terbabit akan diselaraskan oleh agensi berkenaan.

-BERITA HARIAN

Leave a Reply