Gambar atas: Tumpahan minyak yang dikesan /Foto: Jabatan Laut Malaysia.

 

KOTA TINGGI — Jabatan Laut Johor mengesan tumpahan minyak di sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau, di sini, petang tadi.

Pengarahnya, Dickson Dollah, berkata tumpahan minyak itu ditemui ketika rondaan di kawasan itu, kira-kira jam 3 petang Rabu.

Katanya, sehingga kini, tompokan minyak sudah sampai ke pantai Tanjung Balau di sini dan sebahagian daripadanya masih berada di laut.

“Jenis minyak belum disahkan, namun ia berwarna hitam dan kita percaya jenis ‘Marine Fuel Oil’ (MFO).

“Kita juga belum dapat mengesahkan kapal yang bertanggungjawab kerana dimaklumkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan tumpahan minyak.

“Jabatan Laut sudah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan mereka akan membuat pemeriksaan esok,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dickson berkata, Bot Al Nilam iaitu bot Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah diarahkan untuk membuat kerja pembersihan dan akan bergerak dari Tanjung Pengelih ke lokasi kejadian pada jam 6 pagi ini.

Katanya, pasukan ‘Oil Spill Response’ dari Jabatan Laut sudah diarahkan bersedia dengan peralatan tambahan seperti ‘absorbent boom’ dan juga bekalan minyak petrol untuk ke Tanjung Pengelih pada malam ini.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang juga sudah dimaklumkan untuk membantu pembersihan di pantai,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/04/554262/tumpahan-minyak-dikesan-di-tanjung-balau

Leave a Reply