UiTM akan lancar portal tarik alumni membantu universiti itu

0
166
Gambar atas: SYED Zainal Abidin Syed Mohd Tahir (lima dari kanan), Lodin Wok Kamaruddin (enam dari kanan) dan Zaini Hassan (empat dari kanan) bergambar di Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan kepada Mahasiswa dan Alumni UiTM 2019 di UiTM Shah Alam malam tadi (22 Mei).

 

SHAH ALAM — Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan melancarkan sebuah portal pada tahun ini untuk menarik lebih ramai alumni tampil membantu universiti itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM,  Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, terdapat 700,000 lepasan UiTM bukan hanya dapat memberikan sumbangan kewangan tetapi juga pengalaman mereka.

“Insya-Allah akan ada perancangan yang dibuat antara UiTM dengan kerjasama Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM),” kata beliau.

Syed Zainal berkata demikian kepada pemberita di Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan kepada Mahasiswa Asnaf dan Alumni UiTM 2019 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, universiti itu malam tadi.

Seramai 100 orang mahasiswa  UiTM menerima sumbangan berupa tunai RM300 seorang serta barangan makanan daripada Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), sebuah yayasan di bawah PAUiTM.

Sumbangan berkenaan merupakan program amal yang diadakan pada setiap Ramadan.

Sehingga ini, 800 mahasiswa telah dibantu sejak program amal itu dilaksanakan.

Terdapat 64,000 mahasiswa UiTM dari keluarga kategori B40 di seluruh negara.

Program itu mewakili konsep pemberian semula oleh bekas siswazahnya kepada UiTM.

Turut hadir Pengerusi TP1B Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin serta pengurusan kanan universiti, mantan-mantan Naib Canselor universiti itu serta para alumni.

Penerima sumbangan yang berbeza setiap tahun merupakan mahasiswa yang tergolong dalam kategori asnaf, dikenal pasti oleh Bahagian Zakat UiTM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM.

Sementara itu, Presiden PAUiTM dan juga Timbalan Pengerusi TP1B, Datuk Zaini Hassan berkata, pihaknya berusaha mendapatkan pangkalan data UiTM untuk meningkatkan sumbangan daripada para alumni kepada tabung bagi membantu aktiviti pelajar dan universiti itu.

TP1B merupakan sebuah organisasi berbentuk yayasan yang ditubuhkan pada 2015 di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

— 

–BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here