Pokok cili yang ditanah di kawasan Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak.
Pokok cili yang ditanah di kawasan Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak.

DUA post yang ditularkan baru-baru ini cukup menarik hati.

Post pertama melibatkan sebuah masjid di Perak yang menjalankan penanaman pokok cili untuk menjana pendapatan masjid manakala post kedua pula berkait dengan usaha seorang mudir tahfiz di Selangor berniaga bagi menampung keperluan tahfiz berkenaan.

Masjid Jamek Pengkalan Hulu di Perak yang dinobatkan masjid tercantik dan bersih di negeri berkenaan, dilaporkan terlibat dalam penanaman 2,000 pokok cili yang kini memberikan pendapatan ribuan ringgit.

Ini merupakan satu anjakan minda yang perlu dicontohi.

Begitu juga dengan mudir tahfiz di selangor yang berniaga roti canai untuk menampung keperluan tahfiznya.


Usaha yang dilakukan oleh mudir itu bukan sekadar untuk menjana pendapatan tetapi juga membantu memberikan pilihan kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan roti canai pada harga yang jauh lebih murah daripada biasa.

Sewajarnya sikap terlalu bergantung kepada sumbangan orang ramai semata-mata harus dibuang dan tidak salah menggunakan dana yang diperoleh sebagai modal awal untuk menceburi perniagaan yang berdaya maju dan yang menjadi bidang kemahiran .

Tidak timbul persoalan tiada kemahiran kerana terdapat banyak agensi kerajaan dan pihak luar yang bersedia untuk membantu.

Masjid juga seharusnya tidak terlalu menumpukan kepada mendapatkan sumber pendapatan dengan mendirikan pusat-pusat tahfiz kerana kewujudannya sudah terlalu banyak sedangkan umat Islam contohnya masih lagi bergelut untuk untuk mendapat sumber makanan yang halal.

Pastinya ada dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid yang berkemahiran atau pun mempunyai networking yang boleh dimanfaatkan.

Terdapat masjid yang menjadi “kedekut” apabila mempunyai simpanan dalam bank berjuta-juta dan mencatat kutipan yang besar setiap hari atau minggu tetapi gagal memanfaat untuk membantu surau-surau dan juga sekolah agama yang ada dalam kariahnya.

Ini tidak sepatutnya berlaku kerana “tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima” dan harta masjid yang juga milik ramai tidak akan berkurang jika sentiasa membantu mereka yang memerlukannya. – Bebasnews

Leave a Reply