Jagoan hoki Olimpik Munich tagih kaki palsu

0
166
Oleh KAKI BANGKU

 

KESULITAN jagoan Olimpik hoki negara, Harnahal Singh menjalani kehidupan harian dengan kaki kanannya yang dipotong kerana penyakit kencing manis, bakal terlerai dengan sumbangan sebatang kaki palsu dari sebuah pusat perubatan di Lembah Klang, tidak lama lagi.

Legenda skuad Sukan Olimpik Mexico pada 1968 dan Munich 1972 ini juga akan mampu bergerak lebih selesa dan hampir seperti normal atas sumbangan yang cuba dimohon dengan bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) ini.

Sejak disahkan doktor menghidap penyakit itu pada 2006,  dia yang turut kehilangan tiga jari kaki kirinya kerana dipotong atas sebab sama, hanya kerap terlantar di katil rumah sepupunya di SS3, Kelana Jaya, Selangor.

Harnahal, 73,  membantu skuad negara mencipta pencapaian terbaik Malaysia sepanjang sembilan penampilan Olimpik dengan menduduki tempat kelapan di Munich padan 1972 selepas kalah kepada Sepanyol 2-1 dalam perlawanan klasifikasi keseluruhan.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang mengunjungi bekas penyerang apit kiri negara itu semalam berkata, “kami akan cuba dapatkan nasihat dan pandangan doktor yang merawatnya selama 13 tahun sebelum mengambil sebarang langkah susulan.

“Dia bersara daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2001 sebagai pemeriksa bahan. Menurutnya, bapa dan adik-beradiknya juga pernah diserang penyakit itu,” katanya yang ditemani Pengurus Besar yayasan, Zuhairi Abdul Manaf dan Pengurus Operasi, Aminuddin Mohd. Nasir.

Dalam lawatan Yakeb hampir dua jam itu, Harnahal mengakui dia memilih untuk tidak memohon bantuan mana-mana pihak termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sekalipun jasanya kepada negara cukup besar  kerana turut layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada tahun 1973.

Skuad negara meraih tempat ke-11 dalam edisi kedua Piala Dunia di Amstelveen, Belanda itu setelah menewaskan Kenya 1-0 pada perlawanan klasifikasi keseluruhan.

Dia yang turut pernah dipanggil menganggotai pasukan Bintang-bintang Se-Asia pada 1970 bersama-sama rakan sepasukan negara, Yang Siow Ming, berdaftar di bawah Yakeb dengan nombor keahliannya, 871 pada 2010.

Antara rakan seangkatannya, termasuk M. Mahendran, N. Sri Shanmuganathan, Khairuddin Zainal, mendiang Datuk Ho Koh Chye dan Datuk R. Yogeswaran manakala jurulatih skuad Olimpik Munich ialah Ismail Bakri dan pengurus pasukannya, Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga Sultan Perak dan Yang di-Pertuan Agong.

“Sayangnya segala jadual jelajah Bintang-bintang Se-Asia terpaksa dibatalkan atas sebab politik,” kata bapa kepada dua anak perempuan dan seorang lelaki berusia 43, 40 dan 38 tahun ini.

Harnahal yang dilahirkan pada 29 Oktober 1946, sudah kematian isteri tercinta, Yeshoda Kanna pada 14 Ogos 2000.

Dia mengakui tidak lagi mengikuti perkembangan sukan hoki gara-gara penyakitnya, tetapi sempat menitipkan satu dua petua kepada para penggiat generasi sekarang.

“Untuk mampu bermain setinggi Sukan Olimpik dan Piala Dunia, mesti ada minat, letakkan sasaran setinggi yang boleh, jaga kecergasan dan stamina serta asah kemahiran diri anda. Selain sebagai pemain, jadilah seorang pejuang di padang.

“Saya sedar, hoki sekarang sudah jauh berbeza dengan era saya bermain dulu. Pemain kini beraksi di padang tiruan yang perlu lebih pantas dan cergas. Kadang-kadang stamina mereka sukar dipulihkan hanya selepas dua perlawanan,” katanya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here