Khairy hanya jelmaan pada saat akhir

0
109

KECEWA benar Presiden Persatuan Kenu Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berikutan penangguhan mesyuarat agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Penangguhan ini sekali gus menafikan pemilihan ahli majlis eksekutif pertubuhan itu yang sepatutnya berlangsung 29 Jun lepas.

Megat Shahriman menawarkan dirinya sebagai Presiden MPM setelah SM Nasirudin SM Nasimuddin tidak akan meneruskan tugas mengetuai badan paralimpik itu.

MPM yang bergabung dengan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa itu diwujudkan sejak tahun 1989,  bertanggungjawab menghimpun peserta menyertai temasya Sukan Paralimpik; juga ke pesta peringkat Asia Tenggara dan Asia.

Kekalutan hingga menyebabkan penangguhan mesyuarat agung MPM ada sebabnya. Tanggal 14 Jun lepas merupakan tarikh tutup pencalonan untuk jawatan majlis eksekutif yang dipertandingkan. Kemudian tanpa disangka ada lima pencalonan dihantar sehari lewat termasuk daripada bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Tidak tahu apa cerita kemudian, kelima-lima pencalonan lewat telah diterima untuk bersaing dalam mesyuarat agung itu.

Sehari sebelum persidangan,  dikhabarkan berikutan ada aduan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengeluarkan kenyataan bertulis dengan memberi pandangan bahawa wujud ‘kesilapan’ dalam menerima pencalonan lewat itu. Tetapi kenyataan itu tidak pula membuat ketetapan.

Dalam persidangan berkenaan, 14 gabungan MPM bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat agung. Empat belas persatuan merupakan majoriti anggota dalam gabungan MPM.

Berpandukan jumlah yang menyokong penangguhan, nyata ia tidak akan berpihak kepada Megat Shahriman lagi. Majoriti seakan-akan bersama bekas menteri untuk menerajui MPM.

Dengan penangguhan itu, bermakna mesyuarat agung akan berlangsung dalam masa 30 hari dan majlis eksekutif kena menentukan tarikh persidangan. Justeru itu, pencalonan akan dipelawa sekali lagi dan ia pasti tidak akan berlaku insiden kelewatan.

Kenapa Khairy dan empat lagi calon lewat menghantar pencalonan sebelum ini? Dengar-dengar, ada campur tangan pihak lain atau perancangan saat akhir. Atau Megat Shahriman dicadangkan oleh ‘orang penting; dalam kerajaan untuk mengepalai MPM? Lantas difahamkan Khairy diminta untuk memintas kemaraan Megat Shahriman.

Dahsyat sekali kalaulah benar-benar wujud perancangan sebegitu.

Kalau tak silap sepatutnya pemilihan pemegang jawatan sama ada untuk paralimpik sesebuah negara atau jawatankuasa olimpiknya tidak patut dicampuri oleh pihak kerajaan. Jika wujud campur tangan; tidak kiralah siapa pun janganlah sampai nampak sangat. Apakah benar Megat Shahriman bersedia mengetuai MPM ini? Setakat ini jelas dia sudah mengetuai lebih daripada satu badan sukan. Apakah Megat Shahriman benar-benar berkeupayaan dari sudut kepemimpinan?

Bagi bekas menteri Kabinet itu tak naklah diulas panjang-panjang.

Tunggu tarikh mesyuarat agung dalam beberapa hari lagi dan buat perhitungan dengan semangat kesukanan.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here