Perketat keselamatan pusat pameran, servis kenderaan

0
115

KUALA TERENGGANU — Pusat pameran dan pusat servis kenderaan di negeri ini diingatkan supaya memperketat kawalan keselamatan di premis masing-masing susulan insiden kecurian kenderaan di lokasi seumpama itu.

Insiden terbaru dilaporkan berlaku pada awal pagi Jumaat lalu di sini yang menyaksikan tiga kenderaan pacuan empat roda bernilai hampir RM400,000 dilarikan.

Pada Februari lepas, empat kenderaan dilarikan dari sebuah premis pameran dan servis di Kuala Nerus membabitkan kerugian hampir RM540,000.

Ketika membuat peringatan itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata polis percaya ada kaitan antara dua kes berkenaan berdasarkan modus operandi  iaitu mengumpil tingkap atau pintu sebelum beberapa kenderaan dilarikan pada satu masa.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini, beliau berkata: “Kita dapati aspek kawalan keselamatan di premis terlibat sangat lemah seperti tiada pengawal keselamatan bertugas, sistem penggera keselamatan dan kamera litar tertutup juga tidak berfungsi.”

Beliau berkata kunci kenderaan juga sepatutnya disimpan di dalam peti besi, bukannya di dalam laci misalnya yang memudahkan penjenayah yang memecah masuk.

Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan bagi kedua-dua kes berkenaan dan polis menyiasat semua aspek termasuk sama ada kenderaan yang dilarikan itu diseludupkan ke negara jiran atau dileraikan sebagai alat ganti kenderaan.

Dalam perkembangan lain, Aidi berkata polis kontinjen Terengganu menunjukkan pencapaian baik dari segi kadar penyelesaian kes jenayah negeri dan tangkapan kes dadah.

“Sebanyak 570 kes atau 60.7 peratus daripada 939 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berjaya diselesaikan sekali gus melebihi  Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan iaitu 45 peratus.

Jumlah tangkapan pengedar dadah juga meningkat daripada 25 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lepas kepada 44 orang bagi tempoh sama tahun ini, katanya.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here