PRESIDEN Joko Widodo (ketiga kanan) mengunjungi kawasan Sipinsur Geosite di Kabupaten Humbang Hasundutan (Humbahas), Sumatera Utara.

 

Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

PRESIDEN Joko Widodo (Jokowi) mengancam akan membatalkan lesen syarikat yang kegiatannya mencemar ekosistem di kawasan Danau Toba, Sumatera Utara.

Ancaman itu dibuat Jokowi ketika mengunjungi kawasan Geosite Sipinsur, Kabupaten Humbang Hasundutan, Sumatera Utara, Isnin 29 Julai.
Kawasan itu merupakan antara 28 destinasi pelancongan yang berpotensi di kawasan Danau Toba, lapor Antaranews.

Katanya, pembangunan pelancongan tidak hanya menambah baik tempat pelancongan tetapi juga kawasan persekitarannya.

Jika ada syarikat yang mencemarkan ekosistem Danau Toba, beliau akan berbincang dengan kerajaan tempatan supaya tindakan diambil termasuk membatalkan lesen syarikat, kata Jokowi.

Menurut Jokowi, pembangunan pelancongan Danau Toba akan dilakukan secara bersepadu, dengan mengkaji aspek alam, sumber daya manusia, budaya, sosial dan potensi pelaburan yang akan menambah pendapatan negara, sehingga memberi kesejahteraan masyarakat.

Danau Toba adalah salah satu kawasan pelancongan paling popular di Indonesia dan menarik ramai pelancong asing termasuk dari Malaysia. Malah, tidak sah sekiranya berkunjung ke Medan jika tidak melawat Danau Toba.

Letak sejauh 176 kilometer (km) dari Medan, Danau Toba merupakan danau kawah gunung berapi dengan keluasan 100 km panjang dan 30 km lebar.

Ia terletak 505 meter dari aras laut.

–BebasNews

Leave a Reply