Lima rumah kedai musnah dijilat api, kerugian dianggar RM1.2 juta

0
150
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran bangunan membabitkan tiga kedai lampu perhiasan dan barangan elektrik dan dua kedai menjual barangan aksesori, alat ganti dan bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Kapas. STR/ZAID SALIM

 

KUALA TERENGGANU — Sederet lima lot rumah kedai di Jalan Sultan Mohamad berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Wei Sin di sini, musnah kira-kira 90 peratus dalam  kebakaran malam tadi dengan nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM1.2 juta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.33 malam, dan seramai 35 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang bersama empat jentera dan dua ‘water tanker’ telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya tiga daripada lima lot rumah kedai tersebut merupakan kedai lampu hiasan dan barangan elektrik manakala dua lot lagi adalah kedai alat ganti motosikal.

“Semasa tiba, pihak bomba mendapati deretan lot rumah kedai itu telah 70 peratus terbakar dan kebakaran berpunca di bahagian belakang, sebab itu mungkin tiada orang menyedarinya. Jadi kita lewat terima panggilan daripada orang awam,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya semasa operasi dijalankan, pihak bomba berdepan beberapa kesukaran, termasuk struktur bangunan separuh kekal yang terdiri daripada batu-bata dan kayu-kayan selain susunan barang di dalam kedai yang sangat rapat serta padat.

“Satu lagi masalah ialah kedai-kedai tersebut mempunyai banyak bahan mudah terbakar, minyak motor dan sebagainya yang turut mempercepatkan api marak,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal daripada merebak ke lot kedai bersebelahan kira-kira pukul 11 malam dan punca kebakaran masih disiasat.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here