NIK Nazmi Nik Ahmad (kiri) menyampaikan replika jersi cenderamata Tunas Mentari Setiawangsa Rangers kepada Mohamed Nazir Tun Razak selepas pelancaran program di PPR Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

SETAPAK, Kuala Lumpur merupakan tanah kelahiran ramai legenda bola sepak negara dan Selangor seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan Datuk K. Rajagobal.

Supermokh dan Santokh ialah antara tonggak pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 manakala Rajagobal, bekas jurulatih skuad juara Piala AFF 2010 dan Sukan SEA 2009.

Di sinilah mereka mengasah bakat awal lantas menjadikannya sumber inspirasi, Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers hari ini melancarkan Program Tusyen dan Klinik Bola Sepak Tunas Mentari di Gelanggang Cruyff, Projek Perumahan Rakyat Air Panas, Setapak.

Sebanyak 25 pemain kanak-kanak berusia daripada sembilan hingga 11 tahun di perumahan ini dipilih menyertai program dua dalam satu setiap Ahad ini (tusyen akademik sebelah pagi dan bermain bola sepak sebelah petang).

Mereka dibimbing oleh bekas penolong jurulatih Selangor, Rosedy Nazir dengan tempoh dua tahun pertama program Tunas Mentari ini akan dinilai kemajuannya sebelum dihantar bertanding dalam kejohanan atau liga peringkat umur.

Penaung kelab Setiawangsa Rangers, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, “ilham program ini datang daripada pengalaman dan kejayaan Projek Mentari di kawasan rumah pangsa kos rendah di Seri Setia, Selangor yang menekankan aspek pendidikan dan sukan bola sepak.

BARISAN pegawai program dan penaja korporat serta pemain-pemain Tunas Mentari Setiawangsa Rangers FC bergambar kenangan selepas pelancaran program.

“Tujuannya ialah memotivasikan murid-murid tahun tiga hingga lima dan mengelak mereka jadi terlalu tertekan dengan akademik dan berkembang secara kurang sihat.

“Kami cuba mengambil pendekatan dengan popularnya sukan bola sepak pada kalangan murid sekolah rendah tanpa meninggalkan akademik yang sebaliknya perlu juga ditingkatkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen kawasan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak selaku wakil penaja korporat program Tunas Mentari Setiawangsa Rangers dan Presiden kelab berkenaan, Khushairi Aizad Jamalludin.

“Ada aspek penting yang boleh dipelajari peserta program ini antaranya tentang daya saing dan pembinaan pasukan serta disiplin. Saya harap lebih banyak korporat akan tampil memberikan sumbangan kerja sosial sebegini tanpa perlu menunggu atau bergantung kepada kerajaan,” kat Nazir.

Ditubuhkan pada tahun lalu, Setiawangsa Rangers FC dengan ramai pemain bawah 25 tahun kini turut giat bersaing malah menerajui carta mata Divisyen Dua Liga Kuala Lumpur yang bakal berakhir April tahun depan.

-BebasNews

Leave a Reply