Arab Saudi beri AS$6.13 juta kepada 36 warga Indonesia terkorban, cedera dalam tragedi kren jatuh di Masjidil Haram

0
149
Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

ARAB Saudi mencairkan wang bernilai US$6.13 juta dolar (sekitar Rp85 bilion) bagi puluhan warga negara Indonesia (WNI) yang terkorban atau cedera dalam insiden kren jatuh di Masjidil Haram, Makkah, ketika  pelaksanaan ibadat haji pada 2015.

Namun, mekanisme pemberian sagu hati ini masih menunggu kesepakatan antara Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Agama Republik Indonesia (RI).

Duta Besar Republik Indonesia (RI)  ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel, berkata wang sagu hati itu telah diterima Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Riyadh daripada Raja Salman, melalui Penasihat Undang-Undang Timbalan Konsulat , Kementerian Luar Arab Saudi, Mohammad Alshammeri.

“Sebanyak  35 cek diberi untuk dua kategori. Kategori pertama sebanyak AS$133 ribu (Rp1.8 bilion) untuk mangsa cedera serius. Kategori kedua sebanyak AS$266 ribu (Rp.3.7 bilion) untuk mangsa yang meninggal dan cacat kekal,” kata Agus melalui keterangan tertulis yang diterima CNNIndonesia.com pada Isnin.

Menurut Agus sagu hati itu akan disampaikan kepada sejumlah 36 rakyat Indonesia yang menjadi korban insiden kren tersebut. Jumlah itu ditentukan daripada hasil pengenalan yang melibatkan pasukan forensik.

Kata Agus lagi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Agama RI akan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah pentadbiran pemberian sagu hati tersebut.

Tragedi kren runtuh pada 11 September 2015 antara yang paling tragis selama pelaksanaan ibadah haji.

Tragedi itu mengorbankan lebih 100 jemaah haji dan mencederakan 200 yang lain. Ratusan yang terkorban berasal dari pelbagai negara, termasuk Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Malaysia, Turki, Algeria, Iran, Iraq, Libya, Afghanistan dan Mesir.

Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seramai 13 orang yang dipercayai bertanggung jawab atas insiden tersebut, termasuk  kontraktor Bin Ladin. Namun, pada persidangan Oktober 2017 mereka telah dibebaskan hakim setelah menilai bahawa tidak ada unsur jenayah dalam kes tersebut.

Mahkamah memutuskan tragedi itu akibat bencana alam di mana ketika itu ribut pasir terjadi.

Agus berkata,  Indonesia menjadi negara pertama yang menerima sagu hati daripada Arab Saudi setelah proses yang cukup panjang selama empat tahun berakhir.

“Cek bernilai US$6,13 juta ini bukan sebagai diyat ataupun ganti rugi, namun merupakan sagu hati dan perhatian besar Raja Salman terhadap para mangsa musibah robohnya kren,” ujar Agus.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here