Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU — Penggunaan tulisan Jawi dalam semua urusan agama Islam mulai tahun depan bukan sahaja keputusan berani dan tepat, malah menjadi titik awal menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu di rantau ini.

Persatuan Penulis Johor (PPJ) turut menyifatkan keputusan kerajaan negeri itu sebagai langkah terpuji kerana tulisan Jawi adalah aksara yang digunakan sejak zaman batu bersurat lagi.

“Malah, tulisan Jawi merupakan tulisan warisan bagi Bahasa Melayu, sekali gus memartabatkan bahasa tersebut seperti  yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PPJ berpendapat, penggunaan tulisan Jawi adalah langkah terpuji kerana Johor bersedia menjadikan tulisan Jawi sebagai milik masyarakat tanpa mengira kaum,” kata Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi mengumumkan pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi berkuatkuasa 1 Januari 2020 akan membabitkan kesemua anak syarikat di bawah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pelaksanaannya juga akan melibatkan peringkat pejabat kadi, sekolah agama dan digunakan dalam teks ucapan.

Dalam pada itu, Amiruddin merakamkan ucapan tahniah kepada, Menteri Besar Johor,  Datuk Dr. Shahruddin Jamal dan kerajaan negeri yang berani membuat keputusan tersebut dan menjadi pelopor penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasminya.

Beliau turut menyarankan supaya semua papan tanda yang ada kaitan dengan agama Islam segera menggunakan tulisan Jawi.

“Bagi memastikan penggunaan tulisan Jawi benar-benar dilaksanakan secara berkesan, PPJ menyarankan semua pegawai kerajaan di Johor bersama-sama menggunakan tulisan ini dalam memartabatkan tulisan warisan ini,” katanya.

PPJ juga berharap supaya mahu agensi luar  bandar di Johor seperti Kejora dan Felda  turut menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasminya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menerbitkan semula majalah Warta Johor yang diedarkan ke masjid-masjid sekitar tahun 1970-an sebagai wadah mendampingi rakyat.

–BebasNews

Leave a Reply