MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu ketika mengadakan lawatan kerja ke Pulau Perak di Kedah bagi melihat sendiri operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keadaan sekitar pulau berkenaan. GAMBAR IHSAN ATM

 

KUALA LUMPUR — Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Perak, Kedah dalam memantau dan mematahkan usaha menceroboh perairan negara.

Mohamad mengakui kagum dengan semangat dan kesungguhan ditunjukkan pasukan diketuai seorang pegawai bersama 15 anggota lain-lain pangkat yang bertugas di sana.

Katanya, penugasan anggota ATM di Pulau Perak adalah bagi memastikan perairan negara tidak diceroboh sama ada oleh nelayan asing, lanun atau tentera luar yang masuk ke sempadan secara tidak sah.

“Dengan demografi pulau ini yang berbukit, berbatu, curam tidak berpantai malah berada jauh lebih 65 batu nautika dari daratan, mereka tetap menjalankan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan sebaiknya.

“Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa anggota ATM sama ada di daratan, lautan mahupun di udara, sentiasa bertugas dan berada dalam keadaan siap siaga pada setiap masa demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohamad mengadakan lawatan kerja ke Pulau Perak bagi melihat sendiri operasi ATM dan keadaan sekitarnya bersama Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah; Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid dan beberapa pegawai Kementerian Pertahanan.

Pada lawatan itu, Mohamad turut diberi taklimat ringkas Op PEJARAK (Pulau Perak) dan dibawa meninjau keadaan sekitar penempatan di sana.

-Berita Harian

Leave a Reply