SEMALAM berpeluang mengunjungi hari terakhir Minggu Usahawan Nasional (MUN) di Serdang. Secara ringkas, MUN menghimpunkan lebih 3,000 usahawan tempatan. Apa yang dapat dilihat, rata-rata yang mengambil bahagian adalah bumiputera atau orang Melayu Islam. Begitu juga pengunjung, kebanyakannya muka Melayu. Mungkin kerana tumpuan utama MUN 2019 adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Kebanyakan di daerah adalah pengusaha industri kecil Melayu.

Program ini memberi fokus kepada usahawan SDSI dari seluruh negara merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraf tangan serta kesihatan dan penjagaan diri. Tidak sempat memasuki semua dewan pameran tetapi keseluruhannya, memang banyak produk yang dihasilkan oleh bumiputera terutama berkaitan makanan.

Malangnya di pasaran, produk berkenaan sukar diperoleh. Terhad atau terbatas. Mungkin juga ada produk yang tidak pernah kelihatan lebih-lebih lagi di pasar raya utama. Hakikatnya tidak semua jenama yang dihasilkan bumiputera atau orang Islam boleh didapati di Tesco, Giant, Econsave, AEON dan pelbagai lagi. Jika ada pun, satu dua barang sebagai syarat atau strategi untuk menarik perhatian orang Islam berkunjung. Kadang-kadang bermusim.

Apa masalahnya produk keluaran orang Melayu Islam sukar berada di pasaran? Maksudnya di premis perniagaan bertaraf pasar raya atau pasar mini yang kebanyakannya dimonopoli oleh bukan Melayu. Adakah barangan itu tidak berkualiti atau terlalu mahal? Atau sabotaj? Kita tidak tahu di mana silapnya produk orang Melayu Islam sukar berada di pasaran.

Adakah pengeluar tidak mempromosikan produk mereka kepada pemilik pasar raya? Masih malu atau rendah diri? Mungkin faktor margin keuntungan. Tidak mustahil, ada pihak yang sengaja mengenakan pelbagai syarat, mengambil komisyen yang tinggi dan pelbagai lagi sehingga pengeluar tidak berani memasuki pasaran berkenaan. Jika ada yang mampu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, kemungkinan harga produk dinaikkan dan pada masa yang sama tawaran pesaing pula lebih rendah.

Jika situasi ini berlaku, jelaslah satu bentuk sabotaj dilakukan secara halus terhadap produk keluaran orang Islam atau bumiputera.

Akhirnya, apabila pembeli (dalam kalangan orang Islam) menyahut seruan supaya mengutamakan produk keluaran orang Islam atau muslim, mereka terpaksa mencari di kedai-kedai tertentu terutama milik orang Melayu. Apabila situasi ini berlaku adakah ini satu bentuk pemboikotan perniagaan bukan Melayu? Selain membeli produk muslim, pengguna juga digalakkan membeli di premis perniagaan orang Islam. Membeli produk muslim dan boikot adalah dua perkara berbeza.

Apakah maksud boikot. Definisinya :” Memboikot enggan berurus dengan (seseorang, organisasi, dan lain-lain), biasanya untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi yang berkenaan menerima syarat tertentu, memulaukan: dia menyuruh orang ~ kedai-kedai yang menjual barang dengan harga yang mahal,”

Malangnya ada pihak yang sama ada secara sedar atau tidak mengheret kesedaran orang Islam untuk membeli produk keluaran muslim serta berbelanja di premis perniagaan orang Islam ini seolah-olah satu isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan. Lebih memburukkan keadaan, parti politik juga diheret bersama. Apakah maksud kenyataan seperti ini? Hentikanlah kenyataan yang boleh dianggap sebagai batu api yang boleh menimbulkan kemarahan.

Apa yang sedang berlaku adalah satu bentuk kempen mengutamakan produk serta perkhidmatan yang disediakan oleh peniaga muslim. Adalah mustahil untuk memboikot peniaga bukan Melayu seratus peratus. Untuk orang Melayu menjual mi basah pun belum pasti bahan mentah hingga ke plastik pembungkusan dikeluarkan oleh orang Melayu. Rantaian pembekal, pemborong, peruncit dan pengguna membolehkan orang Islam dan bukan Islam memperoleh bahagian masing-masing.

Ambil juga contoh lain seperti kedai dobi layan diri. Bangunan kedai belum tentu milik muslim. Mesin basuh secara francais juga belum pasti milik muslim. Kuih putu bambu, kicap, roti, dan pelbagai lagi jika diselidiki, memang benar dibuat oleh orang Islam tetapi bahan mentah serta keperluan lain berasal dari mana?

Anggaplah apa yang sedang berlaku sama seperti kempen yang dilancarkan oleh kerajaan iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia 2019 (KBBM). Apa masalahnya jika Kempen Beli Produk Islam (KBPI) digerakkan kerana ia juga menyumbang kepada ekonomi negara, sama seperti KBBM.

Bezanya KBPI digerakkan secara sukarela dengan sokongan masyarakat Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). KBBM pula mendapat peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Kewangan. Peruntukan itu bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan. Ia bagi mendapatkan akses kepada pasar raya, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan supaya produk serta perkhidmatan syarikat tempatan dapat dipasarkan kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.

Matlamat KBPI ini juga lebih kurang sama dengan hasrat yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng terhadap KBBM. Matlamatnya supaya produk orang Islam dapat berkembang. Ekonomi negara tidak akan terjejas sekiranya orang Islam terus membeli. Bezanya mereka membeli produk orang Islam di premis orang Islam. Salahkah orang Islam membantu rakan seagama mereka? Ini juga mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

Pemimpin kerajaan tidak perlu terlalu bimbang sehingga boleh mengeluarkan kenyataan seolah-olah orang Islam sedang bermusuh dengan bukan Islam dalam bidang ekonomi. Penggunanan perkataan boikot dan mengheret parti politik Melayu dalam isu ini tidak wajar. Matlamat KBPI adalah untuk membantu meningkatkan industri orang Islam yang masih bergantung kepada bukan Islam.

Adalah mustahil bagi pengusaha muslim mendapatkan bahan-bahan mentah seratus peratus daripada orang Islam kerana pembekal dikuasai bukan Islam. Benar ada yang sinis terhadap KBPI ini. Nasi lemak yang lengkap dengan lauk atau teh tarik pun belum tentu bahan mentahnya mampu dihasilkan menggunakan produk keluaran orang Islam.

Kebangkitan produk orang Islam akan terjejas sekiranya wujud unsur-unsur sabotaj seperti menaikkan harga bahan mentah. Produk bukan Islam akan jadi rebutan sekiranya harga yang lebih rendah ditawarkan. Jika ini berlaku, boikot dan sabotaj, perniagaan boleh rosaK. Pertembungan seperti ini perlu dielakkan. Ini persaingan yang tidak sihat.

Pengguna berhak menggunakan kuasa membelinya. Hakikatnya, bukan menjadi kesalahan sekiranya orang Islam boleh mendahulukan produk keluaran muslim dengan membeli di kedai muslim. Atau membeli produk muslim di kedai bukan Islam (jika dijual) . Atau membeli produk bukan Islam (jika tidak ada pilihan) di kedai muslim dan pilihan terakhir membeli produk bukan Islam di kedai bukan Islam. Maknanya mendahului muslim bukannya boikot.

Minggu ini, mulai 4 hingga 8 September, jom ramai-ramai kita ke Ekspo Halal @ Halal Fiesta @ Halfest untuk meninjau peluang meningkatkan lagi pengeluaran produk makanan halal.

-BebasNews

1 COMMENT

Leave a Reply