UiTM tangguh sesi kuliah jika bacaan IPU lebih 250

0
142
FOTO: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

 

SHAH ALAM — Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara akan ditangguhkan sesi kuliah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250.

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan pelan tindakan kecemasan UiTM 2018.

“Keputusan rasmi penangguhan kuliah akan dikeluarkan apabila bacaan IPU melebihi 250.

“Penutupan operasi kampus pula akan dikeluarkan apabila bacaan IPU melebihi 300,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan sehingga kini tiada kuliah atau penutupan operasi dilaksanakan oleh pihak universiti sepanjang jerebu melanda negara ini.

“Bagaimanapun, pemantauan berterusan sedang dijalankan pihak kami berdasarkan bacaan IPU,” katanya.

Sementara itu, Universiti Selangor (UNISEL) pula menyatakan operasi dan sesi kuliah di dua cawangannya iaitu di Seksyen 7, di sini dan Bestari Jaya, Kuala Selangor masih diteruskan seperti biasa.

Perkara sama turut dimaklumkan Management & Science University (MSU) Shah Alam yang menyatakan sesi kuliah dan operasi kampus masih berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.

Berdasarkan bacaan IPU sehingga jam 12 tengah hari tadi, Shah Alam mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 219, diikuti Petaling Jaya 206 dan Johan Setia, Klang (256).

Kuala Selangor, Klang dan Banting pula masing-masing mencatatkan bacaan tidak sihat dan berada di bawah paras 200.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here