Awas jangan lagi termakan buah petai berulat

0
814

SEMEMANGNYA buah petai adalah antara ulaman sebagai pembuka selera ketika menjamu selera berasaskan nasi untuk makan tengah hari atau malam.

Buah petai berwarna hijau dijadikan ulaman dikunyah bersama nasi itu lazimnya dimakan secara mentah, bakar bersama kulitnya, rebus biasa atau rebus (celur) seketika untuk dijadikan jeruk letak sedikit garam boleh disimpan berbulan-bulan.

Rupa bentuk buah petai itu ialah bijinya tersusun rapi seulas demi seulas pada kepingan memanjang sepapan yang terhimpun beberapa kepingan lain daripada setangkai induk.

Memandangkan terlalu berselera makan nasi berulam petai, maka awas kerana tanpa disedari selama ini anda sudah ‘termakan’ sekian banyak biji buah petai yang mengandungi ulat…!

Ini disebabkan ghairah selera anda memuncak tatkala melihat ulaman biji petai yang licin cantik besar itu dan tanpa berfikir panjang, lalu beranggapan isinya juga bersih?

Sebenarnya dalam segenggam ulaman biji petai mentah, bakar, rebus atau jeruk itu tidak semua isinya yang berbentuk kekacang tersebut bersih kerana ia turut menjadi sarang ulat.

Justeru mulai sekarang anda amalkan memakan ulaman buah petai secara tertib dengan terlebih dahulu membuka satu persatu kepingan bijinya itu bagi memeriksa sama ada ianya bersih atau berulat?

Sesungguhnya anda bukanlah burung atau haiwan lain yang layak memakan ulat serangga dalam seulas buah petai itu yang selama ini kurang diberi perhatian oleh para penggemar ulaman tersebut.

Antara kesan sampingan jika anda termakan ulat dalam ulaman biji buah petai itu ialah tekak akan berasa loya dan sakit perut berpunca daripada keracunan ulat serangga berkenaan.

Penulis telah membuat penyelidikan mengenai biji buah petai mentah masih berpapan dan petai jeruk dalam plasik yang nampak cantik besar bijinya seperti peribahasa ‘mata petai’ dibeli daripada penjual petai di pekan sehari Temerloh, Pahang sekitar tahun 1994.

Sekembalinya ke rumah, penulis membelah seulas demi seulas biji petai mentah dan jeruk itu bagi memastikan isinya bersih atau berulat?

Ternyata sebahagian besar biji buah petai itu mengandungi ulat serangga dan sungguh bernasib baik penulis tidak terus mengunyahnya sebagai ulaman bersama nasi…!

Kes biji buah petai berulat sedemikian bukan hanya berlaku pada petai mentah dan jeruk yang dijual di Temerloh sahaja, malah di kesemua tempat pengeluar produk pertanian tersebut.

Baru-baru ini penulis menerima kiriman daripada penduduk negara jiran di pantai timur Semenanjung Malaysia berupa petai jeruk yang sungguh menyelerakan sebagai ulaman untuk dimakan dengan nasi panas.

Namun pengalaman lampau membuatkan penulis perlu tertib membuka seulas demi seulas biji buah petai jeruk itu bagi memastikan ia berulat atau bersih sebelum layak dikunyah.

Ternyata beberapa ulas daripada biji buah petai jeruk itu mengandungi ulat serangga hijau yang menjadikan buah ulaman itu sebagai sarangnya.

Selain perlu memerika biji buah petai agar apa yang anda suapkan ke mulut itu tidak berulat, anda juga mungkin risau untuk menghadapi masalah mulat berbau dan air kencing hancing juga menyebabkan tandas menjadi busuk akibat makan ulaman itu?

Ada berbagai cara untuk mengurangkan bau mulut akibat makan buah petai seperti terus menggosok gigi selepas memakannya, lalu diikuti berkumur dengan cecair pencucui bahagian dalam mulut.

Petua lain bagi mengurangkan bau mulut akibat memakan ulaman biji buah petai ialah anda boleh meletakkan beberapa lama bunga cengkih dalam mulut, memakan buah nanas sebaik sahaja selesai makan nasi atau mengunyah beras dibasuh bersih dan biarkan beberapa minit dalam mulut sebelum menelan beras yang sudah hancur itu.

Untuk menghilangkan bau air kencing hancing kerana makan buah petai itu pula amat mudah iaitu dengan cara menyembur bahan cucian pembasmi bau tandas atau menyiram cecair peluntur ke tempat air kencing dilepaskan.

Bertitik tolak daripada perkara negatif mengenai petai atau nama botaninya ‘parkia speciosa’ itu, mari kita perkatakan pula akan kebaikan memakan ulaman daripada biji buah pohon tersebut yang banyak terdapat tumbuh di kawasan beriklim khatulistiwa Asia Tenggara ini.

Mengikut kajian saintifik, buah petai memang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan manusia yang diperakui sejak sekian lama.

Di dalam buah petai yang berasa sedikit pedas itu terkandung kabohidrat, kalsium, protein, lemak, vitamin A, B1, B2, B6, C serta tiga jenis gula meliputi sukrosa, fruktosa dan glukosa boleh memberi tenaga semula jadi kepada manusia, di samping melancarkan pencernaan berkaitan dengan pembuangan air besar.

Kajian sarjana perubatan juga mendapati individu yang buah petai juga mampu mengatasi masalah kemurungan kerana zat aktifnya dapat membantu kelacaran pengaliran darah dalam tubuh, sekali gus mententeramkan jiwa serta fikiran.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa rahsia kelazatan sambal nasi lemak pula adalah disebabkan adanya campuran buah petai dikisar halus menjadi cecair digaul ketika memasaknya.

Bagi pengamal perubatan tradisional pula percaya bahawa memakan buah petai mampu mengatasi masalah penyakit kencing manis, buah pinggang, gout, membasmi kecacingan dalam usus manusia, melancarkan sistem urat saraf dan sebagainya lagi.

Meskipun buah petai banyak memiliki khasiat, namun ia boleh mendatangkan mudarat jika dimakan berlebihan kerana ulaman tersebut mengandungi kandungan asid amino yang tinggi boleh mengakibatkan komplikasi kepada ginjal (buah pinggang) manusia.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here